Ads Top

Usia Hampir Separuh Abad, Che Ta Masih Lagi Dapat Pegang Watak Utama

Biarpun usianya kini sudah hampir mencecah separuh abad, namun ia bukan satu halangan buat pelakon Rozita Che Wan untuk terus memegang watak utama dalam drama atau telefilem.

Sudah lebih 13 tahun menceburi dunia lakonan, ibu kepada tiga cahaya mata itu juga sudah melalui zaman kegemilangan sebagai heroin.

Namun begitu, pelakon dan ahli perniagaan yang mesra disapa dengan nama Che Ta sememangnya sentiasa berpijak di bumi nyata dalam soal mempertimbangkan tawaran berlakon.

“Kalau penyanyi mempertaruhkan lagu yang baik untuk melonjak naik, saya percaya pelakon juga bergantung kepada skrip untuk terus membuktikan kemampuan mewarnai watak diamanahkan.

“Kalau drama itu nak heroin berusia 25 tahun atau yang lebih muda, saya mungkin sudah tidak layak. Namun, kalau ada skrip memerlukan watak yang bersuami muda atau pergolakan wanita matang, saya boleh mencubanya. Tawaran sebegini bukan datang selalu. Jadi, peluang yang datang saya takkan mempersiakannya,” ujarnya.

Mengulas mengenai watak utama, Che Ta berkata ia berbalik kepada kepercayaan produksi dan pihak penerbit.

“Alhamdulillah, saya masih boleh membuktikan bakat yang dimiliki. Di luar negara, kita tahu semakin berpengalaman dan meningkat usia seseorang pelakon itu akan terus diberi watak penting,” katanya.

Sejak beberapa bulan lalu, rezeki pelakon yang kini berusia 47 tahun itu terus murah kerana sibuk dengan komitmen kerja.

Sebelum ini, dia telah diberi peranan utama dalam drama Family Spy bergandingan dengan Alif Satar.

Selain itu, dia juga membintangi telefilem Kuba Guling Karipap Pusing terbitan Pena Creative sebagai heroin di sisi Azlee Khairi untuk siaran Awesome TV.

“Selain drama saya juga terbabit sebagai hos seperti program Ujian Menantu menampilkan anak sulung, Ammar Effendy mencari bakal isteri. Saya juga menjadi panel program fesyen Glamketengglam dihoskan Zizan Razak,” ujarnya.

Ketika ini, dia menjalani penggambaran memegang watak utama menerusi drama 13 episod, Dia Isteriku arahan Ayie Mustafa untuk saluran TV Al Hijrah.

“Untuk drama Dia Isteriku nanti, selepas berpisah dengan bekas suami lakonan Datuk Fizz Fairuz, watak saya sebagai Aisyah dalam cerita itu berkahwin dengan lelaki muda lakonan Hafidz Roshdi.

“Shalma Eliana jadi anak saya. Dalam tempoh sama, saya sibuk membahagi masa dengan urusan bisnes dan keluarga,” katanya mengenai drama berkenaan.

Dalam pada itu, pada 11 Disember lalu pelakon drama Lelaki Lingkungan Cinta dan Suri Katriana ini menyambut ulang tahun perkahwinannya yang ketujuh bersama Zain Saidin.

“Fasa turun naik dalam berumah tangga itu lumrah. Namun saya percaya tolak ansur itu perlu. Saya berharap perkahwinan ini akan kekal sampai syurga,” katanya. – KopiPlanet.com

The post Usia Hampir Separuh Abad, Che Ta Masih Lagi Dapat Pegang Watak Utama appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.