Ads Top

Status Hadis – 70 Pintu Rahmat Dibuka Buat Penuntut Ilmu Yang Sedang Berguru

Kita sudah berada pada penghujung tahun 2020. Jika diimbas, banyak perkara yang tidak disangka berlaku pada tahun ini terutamanya apabila kita dilanda pandemik COVID-19.

Daripada angka kes yang kecil sehinggalah meningkat menjadi sebuah angka yang besar ditambah pula dengan bilangan korban yang menjengah membuatkan kita perlu bertahan dengan norma baharu.

Terutamanya buat anak-anak pelajar mahupun mahasiswa yang perlu menyesuaikan diri dengan menghadiri kelas secara atas talian.

Amat berbeza situasi pembelajaran yang dirasai, namun semua itu perlu dilalui dengan hati yang terbuka kerana ia adalah keputusan yang terbaik untuk kesemua pihak.

Jika belajar secara bersemuka membuatkan kita boleh bergaul bebas dengan rakan-rakan sepengajian serta mendekati para guru, namun kini semuanya dilakukan secara atas talian.

Tetapi, itu tidak menjadi halangan untuk kita mengekalkan hubungan sesama manusia kerana hasil dari kemajuan teknologi masih boleh menyatukan kita hari ini.

Walaupun kita belajar secara digital, namun pahala sebagai pelajar itu tetap sampai kepada kita selama mana kita ikhlas dan bersungguh dalam menuntut ilmu dan menghormati guru.

Bahkan, malaikat tetap akan bersama dengan manusia yang sedang menuntut ilmu untuk memayungi rahmat buatnya.

Sebagaimana hadis yang telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Baginda SAW bersabda;

مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا، سَهَّلَ اللهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ، وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللهِ، يَتْلُونَ كِتَابَ اللهِ، وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ، إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمِ السَّكِينَةُ، وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمُ الْمَلَائِكَةُ، وَذَكَرَهُمُ اللهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ

Maksud: “Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan untuk ke syurga. Tidaklah satu kumpulan berkumpul di dalam sebuah rumah di antara rumah Allah, membaca kitab dan mempelajarinya sesama mereka melainkan akan turun kepada mereka sakinah (ketenangan), diliputi ke atas mereka rahmat dan dinaungi oleh malaikat serta Allah akan menyebut mereka pada malaikat yang berada di sisiNya.” (HR Muslim, no. 5867)

Berkaitan dengan rahmat terhadap penuntut ilmu, ada sebuah lagi hadis yang sering disebutkan, iaitu 70 buah pintu rahmat akan dibuka kepada pelajar itu selagi dia sedang duduk berguru dengan gurunya.

Maksud: “Apabila duduknya seorang pelajar di sisi seorang alim, maka Allah akan membuka kepadanya 70 pintu rahmat dan tidak akan bangun dia daripada bersama orang alim itu melainkan seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya (diampunkan dosa baginya). Dan Allah akan memberikan kepadanya pada setiap huruf itu dengan ganjaran 60 orang syahid. Dan Allah juga akan menulis baginya pada setiap hadis (kata-kata) itu ibadah selama 70 tahun serta dibina baginya dengan setiap kertas itu sebuah bandar dan setiap bandar itu seperti sepuluh kali ganda dunia.”

Namun, ulama membahaskan bahawa hadis ini adalah palsu kerana terdapat ganjaran yang disebut secara melampau.

Perkara ini dipersetujui oleh Imam Al-Suyuthi, Imam Ibn ‘Irraq (‘Arraq( al-Kinani serta Imam Al-Syaukani.

Pada asasnya, kita memang dituntut untuk berdamping dengan orang yang berilmu sama ada alim ulama mahupun guru dan pensyarah.

Namun, ganjaran yang disebut di dalam hadis ini adalah palsu dan tiada dalam periwayatan. Justeru, tidak boleh berpegang kepada hadis ini.

Wallahu a’alam

Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan

The post Status Hadis - 70 Pintu Rahmat Dibuka Buat Penuntut Ilmu Yang Sedang Berguru first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.