Ads Top

Membuat Pilihan – Tiada Yang Betul Dan Tiada Yang Salah

Kehidupan adalah sebuah perjalanan. Perjalanan yang akan dilalui sepanjang masa sehinggalah seseorang itu menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Dalam hidup, kita akan melalui banyak jalan; kita akan membengkok ke kiri, akan ada masanya kita membelok ke kanan dan ada masanya kita akan membuat u-turn.

Tidak sepanjang masa jalan yang dilalui akan lurus dan tidak sepanjang masa juga kita perlu melakukan pusingan sebanyak 90 darjah.

Melalui perjalanan itulah kita belajar. Dari jalan yang dilalui itu kita akan melihat apa yang ada di sekeliling dan itulah yang menjadikan ia sebagai pengalaman dalam hidup.

Sama ada keputusan yang diambil itu adalah betul atau salah, pada awalnya tiada siapa yang mengetahui hakikatnya.

Ia hanya boleh diketahui pada perjalanan atau pengakhiran tersebut. Namun, masakan kita akan memilih untuk berhenti di tengah jalan?

Jika lalu di atas lebuh raya, sukar sekali untuk berhenti apabila tersilap lorong. Jadi, kita akan meneruskan pemanduan sehinggalah bertemu lorong yang betul.

Begitulah kehidupan. Kita perlu terus melangkah untuk menemui matlamat dan hala tuju.

Tiada pilihan atau jalan yang salah. Ia hanya menjadi kesalahan apabila kita ‘memandu’ tanpa hala tuju kerana sudah tentu berlakunya pelbagai pembaziran, bukan?

Jadi, jangan takut membuat keputusan. Sama ada salah atau betul, ia adalah salah satu perkara yang perlu ditempuh.

Namun, pada awalnya seharusnya anda sudah menimbang tara akan sesebuah perkara. Jadi, jika wujudnya kesalahan, sekurang-kurangnya ia tidaklah begitu menyakitkan dan anda boleh belajar lebih lagi darinya.

Jadi, jangan takut untuk membuat keputusan. Percayalah kepada diri sendiri dan belajarlah melaluinya.

The post Membuat Pilihan - Tiada Yang Betul Dan Tiada Yang Salah first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.