Ads Top

“Masa Rakam Lagu Sakit, Kami Tak Target Nak Pergi AJL” – Zynakal

Penyanyi Zynakal meminta para peminatnya supaya menerima keputusan lagu Sakit yang gagal ke pentas Anugerah Juara Lagu Ke-35 (AJL 35) setelah terkandas di pentas Separuh Akhir Muzik-Muzik 35 (SFMM 35).

Zynakal berkata, keputusan tersebut harus diterima dan dia percaya dengan barisan juri-juri yang telah membuat pilihan memandangkan mereka lebih berpengalaman.

“Kembali kepada niat sewaktu rakam lagu ini dahulu, saya nak orang tahu yang saya sakit. Masa rakam lagu tu kita tak ada target nak pergi AJL. Jadi, apabila gagal kekecewaan tu tak terasa sangat.

“Cuma terkilan tu ada tetapi saya anggap tiada rezeki. Saya percaya pasti akan ada rezeki yang lebih besar. Mungkin akan dapat masuk AJL akan datang atau dapat rezeki lain.

Sebelum ini, ramai pihak yang tidak berpuas hati apabila beberapa lagu pilihan, termasuk Sakit yang dinyanyikan YonnyBoii dan Zynakal gagal ke pentas AJL 35.

Dalam pada itu, Zynakal juga berharap agar peminat yang masih terus mempertikaikan keputusan berkenaan supaya belajar menerima, meskipun ia sakit.

“Apa yang saya pelajari, sekiranya kita dapat menerima, Allah akan beri rezeki yang lebih. Sebenarnya, menerima itu adalah bersyukur. Kalau bersyukur, Allah akan beri lebih.

“Kepada peminat yang meminati lagu Sakit, doakan saya supaya mendapatkan kejayaan yang lebih baik daripada terus membincangkan perkara ini. Ia pun tak akan mengubah sebarang situasi,” ujarnya.

Bagaimanapun, Zynakal tidak menafikan kegagalan itu juga sedikit memberi kesan kepada mereka ketika membuat persembahan selepas berakhirnya SFMM 35.

“Kami sedih sebab orang lain rasa kegagalan ini. Sampai ada orang mesej di Instagram, mereka sangka lagu Sakit akan pergi AJL. Ada yang terlalu minat sangat dengan lagu ini, namun tak layak.

“Jadi, kesedihan-kesedihan sebegitu yang kami rasai. Kami yang perlu menampung kesedihan mereka. Yang penting kami kena kuat, kalau kami sedih, mereka akan lebih sedih,” ujarnya. – KopiPlanet.com

The post “Masa Rakam Lagu Sakit, Kami Tak Target Nak Pergi AJL” – Zynakal appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.