Ads Top

Konsep Ulul Albab Yang Disebut Dalam Al-Quran

Dalam Al-Quran, perkataan Ulul Albab telah disebut sebanyak 16 kali dan ia menunjukkan betapa pentingnya ia dalam proses pengembangan ilmu, pemikiran dan juga pembentukan peribadi yang unggul.

Ulama menyimpulkan bahawa hakikat ulul albab ini adalah merujuk kepada orang yang menggunakan akalnya untuk mengenal siapa Allah, bagaimana keagunganNya, kebijaksanaanNya serta keadilanNya.

Perkataan ulul albab berasal dari dua kata, iaitu ulu dan albab. Ulu membawa maksud memiliki sedangkan albab ialah otak atau fikiran. Jadi, perkataan ulul albab sendiri membawa makna memiliki pemikiran. Pemikiran yang bagaimana? Dalam hal ini, ulama menyebut bahawa pemikiran kepada perkara yang boleh memberi pembangunan kepada diri sendiri.

وَلَكُمْ فِي الْقِصَاصِ حَيَاةٌ يَا أُولِي الْأَلْبَابِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Mafhum: “Dan di dalam hukuman Qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu bertakwa.” (Surah Al-Baqarah, 2:179)

Imam As-Sa’di ketika menjelaskan ayat ini menyebut bahawa, hukum qisas yang dijalankan hanya diketahui hakikatnya oleh orang yang memiliki kesempurnaan akal dan logik yang sihat. Allah menurunkan ayat ini agar orang yang berakal sentiasa menggunakan fikirannya untuk merenungi hukum-hukum Allah bagi melihat rahmat yang Allah berikan.” (Tafsir as-Sa’di, hlm 84)

Selain daripada surah Al-Baqarah yang menyebut perkataan Ulul Albab ini, ia juga ada disebut dalam beberapa surah lain seperti Surah Al-Imran, Surah Al-Maidah, Surah Yusuf, Surah Ibrahim, Surah Al-mukmin dan banyak lagi.

Menerusi sebuah kajian yang telah dilakukan mengenai konsep Ulul Albab dalam Al-Quran, terdapat beberapa maksud daripada ulul Albab ini, antaranya;

#1 – Surah Al-Baqarah (179): Pada ayat ini mengajar manusia untuk mencintai kehidupan dengan menghormati sesama manusia.

#2 – Surah Al-Baqarah (197): Ayat ini menjelaskan mengenai etika dalam berinteraksi, berkomunikasi, kesopanan dan mempunyai rasa malu. Ia juga mengajar manusia untuk menjadikan takwa sebagai salah satu modal dasar.

#3 – Surah Al-Baqarah (169): Ayat ini pula menyuruh manusia untuk berfikir secara mendalam sebelum melakukan sesuatu.

#4 – Surah Al-Imran (7): Pada ayat ini mengajar manusia untuk meninggalkan perkara-perkara yang dilarang Allah SWT dan menjadikan Allah sebagai sumber kekuatannya.

#5 – Surah Al-Imran (190): Ayat ini mengajar manusia berfikir mengenai fenomena alam yang terjadi dan membuatkan manusia mempunyai kesedaran akan tingginya kebesaran Allah.

#6 – Surah Al-Maidah (100): Ayat ini mengajar manusia untuk mampu membezakan nilai yang baik dan buruk serta menjadikan ketakwaan sebagai jalan menuju kejayaan.

#7 – Surah Yusuf (111): Ayat ini mengajar manusia untuk bijaksana dalam menguruskan emosi

#8 – Surah Ar-Rad (19): Ayat ini menyuruh manusia untuk meyakini kebenaran Al-Quran dan bijak dalam menilai baik buruk sesuatu perkara.

#9 – Surah Ibrahim (52): Ayat ini mengajar manusia untuk menjadikan Al-Quran sebagai sumber pengetahuan yang utama.

#10 – Surah As-Sad (29): Ayat ini adalah untuk mengajak manusia memberi perhatian terhadap setiap tanda kebesaran Allah.

#11 – Surah As-Sad (43): Ia mengajar manusia untuk bertawakal ke atas setiap usaha yang telah diletakkan.

#12 – Surah Az-Zumar (9): Menyebut mengenai perbezaan antara diri orang yang beriman dengan kaum musyrikin.

#13 – Surah Az-Zumar (18): Menjadikan Al-Quran sebagai sumber pengetahuan dan mengharap sumber petunjuk dari Allah.

#14 – Surah Az-Zumar (21): Mengajar manusia untuk menguasai ilmu pengetahuan

#15 – Surah Al-Mukmin (54): Mampu memadukan antara ilmu pengetahuan dan wahyu.

#16 – Surah At-Talaq (10): Mengajar manusia untuk pandai dalam berkomunikasi serta mengambil pelajaran daripada peristiwa sejarah dan tidak mudah memungkiri janji.

Perkataan ulul Albab telah disebut dalam surah-surah di atas bagi mengajar manusia untuk menggunakan akal dan berfikir agar dapat meraih kebijaksanaan.

Bagaimana untuk menjadi manusia yang bijaksana adalah salah satunya dengan belajar dan memahami kehebatan Allah.

Wallahu a’alam

Sumber:
Kajian Konsep Ulul Albab Dalam Al-Quran

The post Konsep Ulul Albab Yang Disebut Dalam Al-Quran first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.