Ads Top

Jom Beli Dan Sokong Barangan Muslim

Populasi Muslim di dunia sebenarnya amat besar. Tambah pula, produk hasil Muslim telah banyak dikeluarkan di dunia. Secara rawak, lambakan produk Muslim di pasaran telah menjadi pilihan kebanyakan individu.

Hasil keluaran Muslim tentunya dijamin halal untuk digunakan kerana halal merupakan perkara yang perlu dititikberatkan ke atas umat Islam.

Walaupun begitu, setiap dari kita mempunyai hak sebagai pengguna atau pembeli. Terpulang kepada diri masing-masing untuk memilih serta menggunakan produk keluaran sesiapa pun.

Tetapi, apabila bercakap mengenai produk keluaran muslim, sejauh mana anda tahu mengenai kualiti dan kehebatan yang dikeluarkannya?

Saya nak mengajak anda untuk merenung sejenak; apabila anda keluar membeli belah sama ada di kedai runcit mahupun pasaraya, barangan apa yang selalu diambil atau jemana apa yang menjadi pilihan?

Jika anda memilih produk keluaran Muslim, tahniah diucapkan.

Sebagaimana yang diketahui, negara kita membekalkan pelbagai produk hasil keluaran Muslim yang selamat dan diyakini untuk digunakan. Barangan ini juga mempunyai potensi untuk kekal dalam industri pengeluaran.

Pemasaran produk keluaran Muslim mungkin agak lemah tetapi kualiti dan harga tentunya berpatutan.

Walau apapun bangsa dan agama, anda boleh cuba membeli produk Muslim lalu menggunakannya dalam kehidupan seharian. Sama ada dari segi makanan, kosmetik, pakaian dan peralatan kehidupan, bahkan banyak lagi produk keluaran muslim ada, cuma namanya sahaja yang tidak dijulang tinggi membuatkan kita terlepas pandang akan kewujudannya.

Antara faedah terbesar membeli produk muslim ialah ia dapat menggalakkan pertumbuhan ekonomi umat Islam ke arah yang lebih baik.

Tak Kenal Maka Tak Cinta

Ayuh renungkan kembali betapa hebat pencapaian Rasulullah SAW dalam usahanya meningkatkan bidang ekonomi orang Islam dengan usaha yang pernah dilaksanakan suatu ketika dahulu.

Jadi, apa kata mula sekarang dengan menyokong kepada pembelian jenama muslim. Bak kata pepatah; tak kenal maka tak cinta.

Bagaimana untuk membeli produk muslim jika anda tidak tahu jenamanya. Jadi, untuk langkah pertama, anda boleh layari web Buy Muslim First atau melihat portal rasmi Halal Malaysia sebagai rujukan.

Belian produk Muslim sebenarnya dapat membantu lebih banyak bumiputera untuk berjaya. Contohnya, peniaga kecil dapat meraih kejayaan dengan menjadi usahawan yang hebat.

Di samping itu, industri yang menghasilkan produk-produk ini juga akan menggalakkan lebih banyak peluang pekerjaan wujud. Jadi, masalah pengangguran bakal berkurangan.

Hal ini dapat membantu kepada penjanaan pendapatan dan mencorakkan ekonomi ke arah yang lebih baik.

Nah, sekarang cuba lihat kembali, bukankah anda juga sebenarnya telah menyumbang kepada ekonomi negara dengan membantu meningkatkan pembelian produk muslim?

Walaupun nilainya kelihatan kecil buat anda tetapi impaknya amat besar.
Pelaburan kepada barangan keluaran Muslim turut menjadi tempat mengumpul pahala dan kebaikan.

Wang yang anda gunakan untuk membeli barangan tersebut akan menjadi suatu kitaran yang menghasilkan manfaat bukan sahaja buat anda tetapi juga sekeliling.

Sebagaimana dalam firman Allah yang menyebut:

وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ

Mafhum: “Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain.” (Surah At-Taubah, 9:71)

Berdasarkan potongan ayat daripada surah yang dinyatakan, pertolongan sesama kita amat dititikberatkan dan ia boleh datang dalam pelbagai bentuk; sama ada menyokong, membeli atau mempromosikan, itu semua termasuk dalam satu bentuk pertolongan.

Melaksanakan Tuntutan Fardu Kifayah

Dalam Islam, fardu kifayah amat dituntut demi memenuhi keperluan umat. Bagaimana membeli produk muslim boleh melaksanakan kepada tuntutan fardu kifayah?

Merujuk kepada hal ini, para peniaga akan membayar zakat kepada mereka yang berkelayakan. Umum mengetahui, zakat merupakan peluntur kepada kemiskinan.

Penerima zakat juga ialah orang Muslim dan keadaan ini sememangnya bakal memberikan pertolongan buat mereka yang memerlukan. Pembelaan terhadap golongan anak yatim dan orang miskin sesungguhnya perkara yang disukai Allah SWT.

Oleh yang demikian, ayuh semarakkan sokongan terhadap barangan Muslim supaya kita semua mendapat keredhaanNya.

Jika anda berusaha ke jalan yang diredhaiNya, kemungkinan pelbagai ihsan akan dilimpahkan kepada kita di kemudian hari. Ini dapat dikaitkan dengan firman Allah SWT yang berbunyi:

إِنَّهُمْ كَانُوا يُسَارِعُونَ فِي الْخَيْرَاتِ وَيَدْعُونَنَا رَغَبًا وَرَهَبًا

Mafhum: “Sesungguhnya mereka sentiasa berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan, dan sentiasa berdoa kepada kami dengan penuh harapan serta gerun takut.” (Surah Al-Abiya, 21:90)

Selain itu, kewajipan yang dilaksanakan dapat memastikan maruah Islam terjaga dengan baik. Seluruh umat Islam juga bersaudara, jadi inilah masanya untuk kita sama-sama bangkit dalam membantu saudara sendiri.

Siapa lagi yang akan meningkatkan nama saudara kita kalau bukan kita yang membantu mereka?

Sekiranya anda boleh menyokong dan menjadi peminat tegar sesuatu barangan berjenama dari luar negara, anda juga pasti boleh menjadi peminat setia produk keluaran Muslim.

Menggunakan produk yang dihasilkan umat Islam juga dikira sebagai suatu ibadah. Lihatlah kitaran dari sesuatu barangan mukmin itu sehingga hasil yang akan dilunaskan buat mereka yang memerlukan.

Lain daripada itu, kesucian produk keluaran Muslim pasti terjamin disebabkan mahu menjaga agama. Sumber barangan Muslim datang daripada bahan-bahan yang tentunya bersih dan halal.

Maka, jangan lepaskan peluang untuk menggunakan barangan hasil Muslim meskipun berbeza bangsa dan agama.

Kesimpulan

Bertindaklah dari sekarang untuk membeli dan menggunakan produk keluaran Muslim. Jika tidak cuba mulai hari ini, selamanya anda tidak akan tahu mengenai produk tersebut.

Bermula daripada sekecil-kecil sokongan anda, kelak akan menghasilkan manfaat yang besar buat produk keluaran Muslim. Semoga produk Muslim menjadi pilihan utama anda selepas ini.

The post Jom Beli Dan Sokong Barangan Muslim first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.