Genap 100 Hari Pemergian Arwah Sandra Dianne, Single Baharu ‘Sandra’ Tetap Dilancarkan
Meskipun Allahyarhamah Sandra Dianne sudah tiada lagi, namun legasi ditinggalkannya masih utuh dan esok adalah genap 100 hari pemergiannya.
Tidak sempat memperdengarkannya sendiri, namun single terbarunya berjudul ‘Sandra’ tetap dilancarkan dan karya istimewa itu mendapat sentuhan komposer Jonathan Tse dan Mohariz Yaakub,
‘Sandra’ yang dicipta dengan muzik soul sememangnya penuh makna mendalam terutama buat Jonathan sendiri.
Menurutnya, bingkisan terakhirnya bersama arwah Sandra ini penuh beremosi dan meruntun jiwa serta jalan ceritanya berkisar mengenai seseorang yang ditinggalkan insan tersayang.
“Lagu ini saya cipta bersama Mohariz tanpa menetapkan siapa penyanyi tepat pada asalnya. Sebaik arwah Sandra mendengarnya, dia terus jatuh cinta dan mahukan lagu ini.
“Kami pun memang tahu kualiti nyanyiannya dan bersetuju memberikan kepadanya. Tidak sangka, arwah berjaya menyuntik magis sendiri dalam nyanyian, bahkan dia menambah elemen uniknya,” katanya.
Berkongsi mengenai pembikinan itu sendiri, Jonathan ternyata hilang kata-kata dengan pemergian Sandra.
Baginya, penyanyi itulah yang sebenarnya paling layak mendapat kredit dalam menghidupkan lagu Ini kerana jiwa lagu itu tidak mungkin luar biasa tanpa alunan suara Sandra yang menjadi magis utama dalam ‘Sandra’.
“Jika didengar secara kasar, lagu ini mungkin nampak santai, namun sebaik diteliti dan didalami, mesejnya begitu mendalam.
“Bait lirik yang ditulis ada penceritaan besar di mana bukan mudah menerima takdir apabila ditinggalkan orang tercinta,” ujarnya.
Dalam pada itu, dia memberitahu bahawa inspirasi lagu ini terbit daripada kisah pemergian arwah Ashraf Sinclair pada awal tahun ini.
“Kisah yang menimpa Bunga Citra Lestari selepas kehilangan suaminya itu memang sangat meruntun hati. Daripada situlah idea untuk menulis lagu ini tercetus.
“Idea itu sendiri saja pun sudah cukup menggambarkan bagaimana emosi yang disalurkan dalam lagu ini. Namun, saya puji arwah Sandra apabila berjaya menyalurkannya dengan baik,” jelasnya.
Menurutnya lagi, proses pembikinan lagu ini sebenarnya mengambil masa lebih kurang sebulan sahaja dan selepas mendengarnya.
“Arwah pantas menguasai dan tahu bagaimana untuk menghidupkan lagu ini. Disebabkan itu tidak lama pun masa yang diambil untuk merakam lagu ini. Kami berjaya siapkan dalam beberapa jam sahaja,” katanya.
Bercerita lanjut, menurutnya lagu ‘Sandra’ hasılan bukan setakat untuk mereka yang kehilangan seseorang disebabkan meninggal dunia.
Sebaliknya, ia lagu yang sesuai dengan situasi sesiapa juga termasuk pasangan bercinta apabila ditinggalkan kekasih. Dalam pada bersedih, mereka tetap harus kuat meleraikan kesedihan itu.
“Lagu ini bukan membawa maksud untuk meratapi pemergian orang tersayang itu sebaliknya curahan hati bagaimana seseorang melakukan refleksi terhadap hal itu.
Bagaimanapun, elemen kesedihan itu pastinya tetap ada dan terserlah dalam melodi serta cara penyampaian bait-bait liriknya,” katanya.
Terdahulu, Sandra disahkan meninggal dunia pada 11 September selepas terbabit dalam nahas jalan raya.
Lebih memilukan, allahyarhamah ketika itu sedang bertanding untuk program Big Stage musim ketiga di saluran Astro RIA tahun ini. Sandra sebelum ini meledak menerusi lagu Hey! Kau, Terkemuka, Tulus, dan Jelaskan.
Sandra boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, YouTube & YouTube Music. – KopiPlanet.com
The post Genap 100 Hari Pemergian Arwah Sandra Dianne, Single Baharu ‘Sandra’ Tetap Dilancarkan appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: