Ads Top

Dayana Roza Kini Sah Bergelar Isteri Kepada Seorang Usahawan


Setelah empat bulan mengikut tali pertunangan, akhirnya pelakon Dayana Roza sah bergelar isteri kepada usahawan, A’dale Adham Ayahudin pagi tadi.

Berlangsung dalam sebuah majlis yang mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di Masjid Negara, ia sekadar dihadiri 30 orang dalam kalangan ahli keluarga terdekat serta teman rapat.

Pasangan berkenaan dinikahkan bapa Dayana, Kamsum Baharin Kassim, manakala ia disaksikan Imam masjid berkenaan, Ustaz Muhammad Afif Jamal.

A’dale menyerahkan tujuh dulang hantaran berbalas sembilan dulang daripada pihak Dayana pada majlis itu. 

Mas kahwin untuk pengantin perempuan pula dalam bentuk gelang tangan bernilai RM2,000 dan wang hantaran dirahsiakan atas permintaan ahli keluarga.

“Alhamdulillah sudah terpatri ikatan yang sah antara kami. Sepatutnya kami nikah pada 12 Disember lalu, namun kita hanya merancang. 

“Di sebalik ujian pandemik Covid-19 ini yang membataskan banyak perkara, akhirnya kami dapat melaksanakan yang wajib dahulu dan majlis pernikahan berlangsung pagi ini,” ujarnya.

Menurut Dayana, mereka cuba mempercepatkan majlis nikah ini seperti yang dirancang kerana datuk A’dale sudah tua dan sakit. 

Bagaimanapun, ujarnya datuk suaminya itu tidak sihat dan beliau tidak dapat menghadiri majlis akad nikah berkenaan.

“InsyaAllah kalau tiada aral melintang majlis resepsi akan dibuat 10 Januari depan juga di ibu kota. Cuma sejurus selepas majlis nikah ada sedikit keraian diadakan di sebuah premis di ibu kota,” katanya.

Sementara itu, A’dale berkata, dia tertarik dengan Dayana kerana dia seorang yang lasak dan boleh satu kepala dengannya yang menggemari laut, berlayar dan memancing.

“Arwah nenek pernah pesan kalau nak cari calon isteri, pilih yang berkulit putih. Jadi, Dayana memang dalam kategori putih, cuma sekarang gelap sedikit. Paling penting, kami meminati hobi lasak bersama,” katanya.

Dayana yang lahir menerusi program realiti, Anak Wayang mengenali suaminya atas dasar kawan baik sejak enam tahun lalu. Namun, tanpa diduga hubungan bertukar menjadi cinta sehinggalah mereka bertunang pada Ogos lalu. – KopiPlanet.com

The post Dayana Roza Kini Sah Bergelar Isteri Kepada Seorang Usahawan appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.