Alif Satar Mahu Buat Video Kongsi Pengalaman Ketika Dapat Rawatan Covid-19
Baru-baru ini penyanyi, pelakon dan pengacara Alif Satar antara yang telah disahkan positif Covid-19 dan telah pulih daripada virus berkenaan.
Ketika disahkan positif, pelakon itu telah mendapatkan rawatan selama 12 hari di sebuah hospital di Melaka.
Alif berkata, sebagai individu yang pernah positif virus berkenaan, dia telah tergerak hati untuk menghasilkan sebuah video mengenainya.
“Video yang saya akan hasilkan ini bertujuan kerana saya mahu ambil peluang untuk mendidik masyarakat mengenai Covid-19 ini dan ia akan disiarkan di saluran YouTube saya.
“Pengalaman selama 12 hari mendapat rawatan di hospital akan didokumentasikan dalam bentuk video. Video ini lebih kepada aspek mental ketika rawatan yang akan dikongsikan kepada umum,” ujarnya.
Alif berkata demikian sewaktu ditemui semasa acara Anugerah MeleTOP Era 2020 (AME 2020) yang berlangsung semalam.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai keadaan kesihatannya sekarang setelah bebas dari virus tersebut, dia berkata dirinya masih belum pulih 100 peratus lagi.
“Tidak dinafikan memang ada kesan, misalnya sekarang ini saya akan cepat letih. Namun, ia tidaklah berlaku selalu.
“Lagipun ia akan mengambil masa yang agak lama untuk kembali pulih seperti sediakala,” ujarnya. – KopiPlanet.com
The post Alif Satar Mahu Buat Video Kongsi Pengalaman Ketika Dapat Rawatan Covid-19 appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: