Ads Top

Semua Orang Tak Sanggup Lalui PKP Lagi – Beto Kusyairy

Pelakon berkaliber, Beto Kusyairy percaya kebanyakan rakan dalam industri seni tidak sanggup lagi untuk melalui tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti yang dilaksanakan pada Mac lalu berikutan ia bakal menjejaskan ekonomi serta pendapatan sesetengah pihak.

Walau bagaimanapun, Beto atau nama sebenarnya, Nurkusyairy Zakuan Osman, 40, tidak menolak sekiranya PKP harus dilaksanakan semula bagi kebaikan semua pihak memandangkan kenaikan mendadak kes Covid-19 sejak kebelakangan ini.

“Saya percaya di kalangan orang-orang industri, kami ‘can’t afford’ untuk menghadapi satu lagi MCO (PKP) tapi jika itu adalah jalan terbaik untuk menurunkan kes yang semakin meningkat ini saya rasa setiap orang harus terima benda itu walaupun sukar.

“Masa MCO lepas pun ramai daripada penggiat seni terpaksa balik kampung sebab tak boleh nak survive, nak bayar duit sewa rumah dan sebagainya.. jadi semua orang dah tak sanggup nak lalui benda itu lagi.

“Tapi melihat pada situasi sekarang ini kalau memerlukan kita untuk MCO lagi, kita terpaksa tempuh jugalah,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Beto ditemui pada majlis pelancaran filem terbaharunya, Aku Bukan Gila yang berlangsung di Hotel Flamingo, Ampang semalam.

Menurut Beto lagi, dia sememangnya sentiasa beringat dan berpegang pada pepatah ‘sediakan payung sebelum hujan’ memandangkan pendapatan sebagai seorang pelakon adalah tidak menentu.

“Saya mungkin boleh dikatakan mereka yang dalam kategori beruntung sebab saya ada simpanan dan memang sentiasa fikir jauh sekiranya jadi apa-apa perkara.

“Saya memang dah ‘stand by’ sebab kerja macam saya ni memang gaji tidak menentu, tiada gaji tetap. Itu adalah persediaan yang memang saya buat daripada awal lagi dan saya pula bukan jenis yang suka meminta-minta, sedangkan kawan-kawan seni yang meminta pun dah kena kecam dengan netizen.

“Saya bukan nak kata sombong atau apa.. tapi saya sedar ini keadaan kita, saya tidak boleh harapkan orang lain jadi saya sendiri yang kena usaha.

“Saya tak nafikan saya cukup terasa bila melihat kawan-kawan saya dikutuk dan diperlekehkan (bila mereka tuntut hak keistimewaan semasa PKP). Tapi saya juga tak salahkan netizen untuk keluarkan komen-komen sedemikian.

“Apa yang saya boleh buat adalah ‘be there’ untuk kawan-kawan saya. Sabar dan kita buat apa sahaja yang kita suka. Dia (Allah) ada untuk bantu kita, kita memang tak boleh tutup mulut orang dan puaskan hati mereka (netizen),” ujarnya lagi.

Sementara itu, filem Aku Bukan Gila telah ditayangkan di saluran WeTV iflix secara percuma bermula semalam. Filem arahan Rahila Ali itu turut dibintangi Fasha Sandha, Wanna Ali. Aku Bukan Gila memaparkan kisah tentang penyakit bipolar yang semakin meruncing di kalangan masyarakat masa kini. – KopiPlanet.com

The post Semua Orang Tak Sanggup Lalui PKP Lagi – Beto Kusyairy appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.