Istikharah Bukan Hanya Apabila Keliru Membuat Keputusan Besar
Istikharah berasal dari perkataan Arab iaitu ‘khair’ yang bermaksud kebaikan. Apabila ia menjadi kata terbitan ‘istikhar’ ia membawa makna memohon pilihan.
Biasanya apabila berhadapan dengan kekeliruan untuk membuat pilihan, maka seseorang itu disarankan untuk melakukan solat sunat Istikharah untuk memohon petunjuk daripada Allah. Malah pelbagai cerita timbul berkenaan cara seseorang itu mendapat ‘petanda’ setelah doa dipohon.
Walau bagaimanapun, solat istikharah ini sebenarnya bukan hanya perlu didirikan apabila berhadapan dengan pilihan-pilihan besar, tetapi ia menjadi sunnah yang disarankan bagi semua perkara.
Seperti diceritakan oleh Jabir bin Abdullah,
Rasulullah SAW pernah mengajarkan kami tentang memohon pilihan bagi semua perkara (istikharah) sepertimana Baginda mengajarkan kami surah daripada al-Quran.
Baginda bersabda : Jika salah seorang dari kalian gusar tentang satu perkara maka rukuklah dua rakaat selain dari yang fardu. Kemudian katakanlah : Ya Allah, aku memohon pilihan dengan ilmuMu, aku memohon kekuatan dengan kekuatanMu, Aku juga memohon daripada limpahanMu yang Agung.
Engkau mampu sedangkan aku tidak. Engkau Maha Mengetahui sedangkan aku tidak tahu. Engkau Maha Tahu tentang perkara yang ghaib. Ya Allah, jika Engkau mengetahui bahawa perkara ini baik untuk untuk agamaku, kehidupanku dan penghujungku. Ataupun Nabi bersabda : sama ada perkara yang segera atau yang lambat. Maka permudahkanlah urusanku dan berkatilah aku dalam urusan tersebut.
Jika Engkau tahu bahawa perkara ini buruk bagiku pada agamaku, kehidupanku dan penghujung hidupku. Ataupun Baginda bersabda : sama ada yang segera atau yang lambat. Maka, jauhkanlah ia dariku dan jauhkan aku darinya. Dan tentukan bagiku yang terbaik kemudian redhailah aku dengannnya. Kemudian Baginda bersabda : Orang itu (boleh) menyatakan hajatnya.” (Riwayat Al-Tirmizi, no.480, Ibnu Majah, no.1383 – Imam Tirmizi menyatakan bahawa hadis ini bertaraf hasan sahih gharib)
Bermakna ia perlu menjadi kelaziman untuk memohon kebaikan dalam urusan-urusan setiap hari. Bukankah kehidupan kita ini terbina daripada keputusan-keputusan kecil yang kita buat setiap masa dan bukan keputusan yang kita anggap besar sahaja seperti memilih pasangan atau perkahwinan.
Bayangkan jika kita memilih untuk tidak membawa payung saat keluar dari rumah untuk ke tempat kerja, kemudian ditakdirkan hujan lebat pada petang hari, bukankah ia sudah menyukarkan. Contoh lain, seperti kita ingin memesan makanan untuk makan tengah hari, kemudian ditakdirkan makanan lambat sampai atau dibatalkan oleh penjual, bukankah ia mengundang rasa marah kerana kita sudah lapar. Sedikit sebanyak hal-hal ini akan memberi kesan kepada mood dan keadaan diri kita.
Justeru, inilah fungsi solat istikharah yang kita lakukan agar setiap pilihan yang dibuat adalah pilihan yang terbaik daripada Allah. Namun perlu diingat, apabila sudah melazimi istikharah, tidak bermakna hari yang kita lalui akan kosong tanpa masalah, tetapi ia mengajar kita menjadi lebih kuat, bertawakkal dan positif dengan apa yang dilalui.
Sumber rujukan:
The post Istikharah Bukan Hanya Apabila Keliru Membuat Keputusan Besar first appeared on Tazkirah.
No comments: