Ads Top

Hukum Memberi Salam Dengan Hanya Ungkapan ‘Salam’

Saya teringat situasi semasa berada di zaman universiti apabila panggilan ‘brother’ disingkatkan menjadi ‘bro’ begitu juga ‘sister’ yang dipanggil ‘sis’.

Dan apabila kami terserempak ketika menuju ke kelas mahupun di jalanan, ada budaya yang menjadi kebiasaan kami, iaitu memberi salam kepada mahasiswa yang berselisih.

Dan ia biasanya menjadi amalan pelajar-pelajar lelaki serta pelajar dari luar negara. Perkara inilah yang menjadikan ukhwah sesama mahasiswa semakin utuh walaupun kadang-kadang orang yang ditegur itu tidak dikenali pun.

Dan ungkapan salam yang terkenal ialah – “Salam bro” sambil mengangkat tangan dan mengukir senyum.

Namun, bolehkah meringkaskan ucapan ‘Assalamualaikum’ dengan sekadar mengucapkan ‘salam’?

Sebelum kita melihat kepada jawapannya, saya tertarik untuk membawa pandangan yang dikemukakan oleh Imam Ibnu Utsaimin RA;

Apabila kita mengucapkan sesuatu, ia pasti akan disekalikan dengan perkataan lain bagi memberi kefahaman kepada pendengar.

Contohnya, kita bertanya: “Ke mana?”

Perkataan ini tidak lengkap meski pun yang mendengarnya memahami maksud di sebalik ungkapan ini. Untuk mengelakkan salah faham, kita akan bertanya secara terus: “Nak pergi mana hujung minggu ini?”

Jadi, orang yang mendengar boleh memahaminya secara terus bahawa soalan tersebut diberikan untuk bertanya rancangan anda pada hujung minggu ini.

Maksudnya di sini ialah, dua-dua situasi (soalan) itu betul. Namun, yang lebih tepat dan mudah faham adalah dengan menyatakannya secara penuh.

Begitu juga dengan ungkapa salam. Kita faham bahawa salam itu adalah ungkapan sejahtera yang diberikan kepada orang sekeliling kita.

Namun, ucapan penuhnya adalah dengan mengucapkan ‘assalamualaikum’ yang membawa maksud doa sejahtera ke atasnya.

Hukum Mengucapkannya Secara Ringkas

Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, ulama berpandangan bahawa memberi ringkasan salam dengan ucapan ‘salam’ atau ‘salam ‘alaikum’ adalah dibolehkan.

Hal ini juga adalah dengan melihatkan kepada situasi yang pernah terjadi dan dirakamkan dalam surah Az-Zariyat;

هَلْ أَتَاكَ حَدِيثُ ضَيْفِ إِبْرَاهِيمَ الْمُكْرَمِينَ
إِذْ دَخَلُوا عَلَيْهِ فَقَالُوا سَلَامًا ۖ قَالَ سَلَامٌ قَوْمٌ مُّنكَرُونَ

Mafhum: “Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal tetamu Nabi Ibrahim yang dimuliakan? Ketika mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: “Salam sejahtera kepadamu!” Ia menjawab: “Salam sejahtera kepada kamu!” (Surah Az-Zariyat, 51:24-25)

Dalam hal ini, Imam Ibnu ‘Utsaimin menyebutkan bahawa dibolehkan kerana melihat juga kepada maksud salam itu sebagai salah satu ucapan ringkas untuk menegur orang sekeliling.

Justeru, tidak menjadi masalah untuk menyebutkan menegur orang sekeliling dengan ucapan ringkas itu.

Tetapi dalam masa yang sama, kita perlu faham bahawa semakin panjang ucapan doa itu disebut adalah semakin baik.

Jadi, adalah lebih baik untuk memberi ucapan salam itu dengan penuh sebagaimana pernyataan yang dibawakan oleh Imam Ibnu ‘Utsaimin pada awal tadi.

Wallahu a’alam

Rujukan:
Konsultasi Syariah

The post Hukum Memberi Salam Dengan Hanya Ungkapan 'Salam' first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.