“Buat Perkara Yang Boleh Bantu Kehidupan Akhirat Kelak” – Khabib
Hari ini, arena sukan tinju dikejutkan dengan pengumuman persaraan Khabib dari sukan itu. Khabib Nurmagomedov telah mengumumkan berita itu sejurus selepas kemenangannya dalam perlawanan menentang Justin Gathje menerusi aksi UFC 254 pada awal pagi tadi.
Menurutnya, persaraan itu adalah untuk menjaga ibunya serta menikmati kehidupan ini dengan bebas.
Penulis tertarik untuk berkongsi sebuah perkongsiannya menerusi video yang telah tular tentang kehidupan, iaitu;
Setiap dari kita diberi pilihan untuk memilih dan melakukan apa yang diingini dengan syarat apa yang ingin kita lakukan itu diredai oleh Allah.
Suatu masa nanti, manusia akan meninggalkan dunia ini. Apa amalan yang kita akan bawa untuk menghadap Ilahi? Dan adakah kita berpuas hati dengan kehidupan yang Allah pinjamkan untuk kita hari ini?
Umum mengetahui, Khabib merupakan seorang bintang tinju yang mempunyai rekod kemenangan dengan 29 perlawanan tanpa kalah.
Usaha yang jitu dan semangat yang tinggi yang telah dibekalkan oleh orang sekeliling terutama daripada jurulatihnya, yang juga bapanya sendiri membuatkan semangatnya sentiasa berkobar-kobar untuk melakukan yang terbaik.
Ditambah lagi dengan doa dan iringan berkat dari ibunya membuatkan beliau berjaya menjadi ahli tinju yang berjaya.
Namun, kali ini beliau memilih untuk bersara kerana ingin terbang bebas dan menikmati kehidupan selepas penat lelah perjuangannya sekali gus ingin berbakti kepada ibunya selepas bapanya yang telah meninggal dunia pada Julai lalu.
Baginya, dia ingin menambahkan amalan dan perkara yang boleh memberi saham dan kebaikan untuk kehidupan akhirat kelak; menjaga hubungan dengan sekeliling, berbakti kepada ibunya dan memperbanyakkan amalan yang boleh mendekatkan diri kepada Allah.
Kerana setiap perkara dan amalan yang kita lakukan di dunia ini akan dikira sebagai bekalan di akhirat kelak.
Jadi, sentiasa lakukan yang terbaik dalam setiap perkara yang kita ambil agar sentiasa mendapat keredaan Allah.
Wallahu a’alam.
Sumber:
The post "Buat Perkara Yang Boleh Bantu Kehidupan Akhirat Kelak" - Khabib first appeared on Tazkirah.
No comments: