Amir Hasan Tampil Dengan iShy, Kisah Tentang Lelaki Pemalu
Setelah mencuri perhatian apabila videonya menyanyikan lagu Akad dendangan asal band Indonesia, Payung Teduh menjadi tular pada tahun 2017, Amir Hasan memulakan kerjaya sebagai penyanyi pada tahun 2018 menerusi single pertamanya Bicaramu yang dihasilkan bersama Haikal Azrin dan Rudy Nastia.
Berikutan kejayaan single debutnya, tahun 2019 menyaksikan penyanyi yang dikenali sebagai Amir ini kembali dengan single keduanya Gadis Yang Ku Tunggu (GYKT), sebuah lagu yang digubah oleh Aizat Amdan dan Mel Ramlan.
Menariknya, sejak debutnya pada tahun 2018, Amir pernah diberi peluang menjayakan persembahan di pentas Esplanade, Singapura untuk Pesta Raya – Festival Kesenian Melayu dan menjadi pembuka tirai konsert penyanyi pop Britain, Anne-Marie di KL Live pada tahun 2019.
Penyanyi berusia 24 tahun yang memiliki Diploma Komunikasi dan Media dari Universiti Selangor ini juga merupakan salah seorang peserta rancangan realiti Big Stage 2020 yang melabuhkan tirainya baru-baru ini.
Bagi mengukuhkan lagi namanya dalam persada seni, bintang yang sedang meningkat naik ini kembali dengan singleterbaharunya berjudul iShy.
Lagu ini ditulis oleh Amir Hasan dan Mingaling, komposer dan penerbit yang semakin meningkat naik dari kumpulan Hip Hop Malaysia, MassMusic.
Berlainan dengan karyanya sebelum ini yang berunsur pop Melayu, iShy menyaksikan Amir cuba mengetengahkan muzik berentak urban dalam karyanya.
Bercakap mengenai kolaborasi pertamanya dengan Mingaling dan halatuju muziknya, Amir berkata, sebelum bergelar penyanyi rakaman, dia sebenarnya lebih cenderung ke arah muzik Hip-Hop ketika mula-mula menyanyi dahulu.
“Setelah menghasilkan dua lagu berentak pop, saya rasa sudah tiba masanya saya mengambil pendekatan yang berbeza untuk single ketiga saya. Ini adalah kolaborasi pertama saya dengan Mingaling, yang sebelum ini pernah menghasilkan beberapa lagu hits tempatan.
“Bekerjasama dengan Mingaling dalam proses rakaman lagu ini telah banyak membantu saya mengasah lagi kemahiran menulis lagu dan meluaskan lagi pengetahuan serta pengalaman muzik saya,” jelasnya.
Mengulas tentang single terbaharunya, Amir memberitahu lagu berkenaan mengisahkan tentang seorang lelaki pemalu yang mencintai seorang gadis dalam diam.
“Saya percaya ini adalah kisah yang pernah dilalui oleh kebanyakan lelaki di luar sana, tidak semua lelaki mempunyai keyakinan untuk menyatakan perasaannya. Malahan, bila bercakap tentang kisah menyimpan rasa cinta dalam diam, sesiapa pun boleh melaluinya tanpa mengira jantina.
“Pastinya saya harap lagu iShy ini dapat memberi inspirasi kepada mereka untuk menyatakan rasa cinta mereka kepada seseorang. Lebih penting lagi, saya berharap pendengar terutamanya peminat saya dapat menerima baik lagu ini dan terus menyokong muzik saya,” ujarnya.
“iShy” diterbitkan dan diedarkan oleh Warner Music Malaysia. Single ini boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox , Deezer, Joox dan juga Apple Music bermula 30 Oktober lalu, manakala lirik video rasmi iShy boleh ditonton di Youtube Warner Music Malaysia bermula tarikh yang sama. – KopiPlanet.com
The post Amir Hasan Tampil Dengan iShy, Kisah Tentang Lelaki Pemalu appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: