3 Cara Untuk Meleburkan Dosa
Allah ada berfirman dalam sebuah kalamNya yang bermaksud – “Tidak aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepadaKu.”
Makna kepada ayat ini mudah dan dapat kita faham bahawa tugas manusia di muka bumi ini adalah untuk taat kepada perintah Allah.
Tidak lain tidak bukan dengan mengikut segala ajaran yang telah diwahyukan kepada rasul junjungan kita, iaitu Muhammad SAW. Tinggalkan perkara yang dilarang apatah lagi yang boleh menimbulkan kemurkaan Allah SWT.
Namun, bukan mudah untuk kekal berada di jalan Allah kerana manusia ada musuh utamanya, iaitu syaitan yang sudah berjanji untuk menyesatkan anak cucu Nabi Adam AS sehingga berlakunya kiamat.
Disebabkan itu kita melihat bahawa sukarnya diri kita untuk sentiasa melakukan kebaikan. Namun, apabila sudah terlanjur melakukan dosa atau maksiat, tidak kiralah sama ada ia adalah dosa besar mahupun yang kecil, perlulah kita kembali kepada Allah.
Ada banyak cara yang akan dikongsikan melalui entri ini mengenai bagaimana untuk meleburkan dosa-dosa yang dilakukan.
#1 – Mengucapkan Istighfar
Yang paling mudah untuk dilakukan adalah dengan beristighfar. Sambil-sambil beratur untuk menaiki LRT, pun boleh dibaca istighfar.
Dengan istighfar, Allah bukan sahaja akan mengampunkan dosa hambaNya, namun Allah juga akan menambahkan rezeki kepadanya dari arah yang tidak disangka-sangka.
Mafhum: “Maka aku katakan kepada mereka: “Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, niscaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat, dan membanyakkan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai.” (Surah Nuh, 71:10-12)
#2 – Berbuat Kebaikan Untuk Diri Sendiri
Berbuat baik bukan sahaja untuk mendatangkan pahala dan kesenangan dari Allah, tetapi ia juga adalah untuk menampung dosa-dosa yang telah dilakukan.
Maksud: “Sedekah itu akan memadamkan dosa sebagaimana air dapat memadamkan api. Hasad akan memakan kebaikan sebagaimana api melahap kayu bakar.” (Hadis Riwayat Al-Baihaqi dalam Syu’abul Iman)
#3 – Buat Baik Dan Diniatkan Untuk Orang Lain
Jika anda mempunyai ahli keluarga atau sesiapa sahaja yang diketahui pernah melakukan kesilapan sewaktu hayatnya, maka anda juga boleh membantu meleburkan dosa-dosa mereka dengan berbuat baik bagi pihak mereka.
Bukan mereka sahaja yang akan mendapat keampunan dari Allah, tetapi anda juga akan turut diganjarkan dengan ganjaran kebaikan yang dijanjikan.
Maksud: “Tidaklah seseorang mendoakan saudaranya dengan suatu doa melainkan Allah akan mengutus malaikat yang bertugas ketika ia berdoa kepada saudaranya, malaikat itu pun berkata: “Amiin (semoga Allah kabulkan) dan engkau pun akan memperolehnya.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 2733)
Kesimpulan
Kadang-kadang, setiap kebaikan atau perkara yang dianggap kecil pun boleh menjadi sebab kepada pengampunan Allah.
Jadi, lakukanlah apa sahaja yang boleh meraih redaNya.
Wallahu a’alam.
The post 3 Cara Untuk Meleburkan Dosa first appeared on Tazkirah.
No comments: