Ads Top

#12 – Peruntukan Masa Untuk Makan Bersama Ahli Keluarga

Pelan Efisien 100 Hari

Mewujudkan keluarga harmoni itu bukanlah sesuatu yang mudah namun ia tidak mustahil jika setiap ahli keluarga sama-sama memainkan peranan.

Bukan ibu bapa sahaja yang perlu bertungkus-lumus kerana tanggungjawabnya adalah bergantung kepada semua orang dan pemupukan ini perlu diterapkan dari awal rumah tangga dibina lagi.

Mengapa keharmonian keluarga amat penting? Kita melihat bahawa keluarga bahagia merupakan asas kepada pembentukan masyarakat yang penyayang dan maju.

Jika pincang keluarga, maka pincanglah masyarakatnya. Hal ini dilihat melalui beberapa kajian yang telah dilakukan, iaitu kebanyakan remaja yang mengalami masalah sosial datangnya daripada yang mempunyai masalah keluarga.

Salah satu cara untuk mewujudkan keharmonian keluarga adalah dengan memperuntukkan masa makan bersama ahlinya.

Hal ini boleh dilakukan sekurang-kurangnya sekali sehari. Mengapa? Salah satu kesan besar yang dapat dilihat ialah ia boleh memberi kesejahteraan minda dan emosi kepada anak-anak. Bukan mereka sahaja, tetapi termasuklah kepada pasangan ibu bapa.

Bayangkan, anda sudah seharian berada di luar dengan berpenat lelah mencari nafkah untuk ahli keluarga, begitu juga dengan anak anda yang penat mengharungi dunia luar.

Apabila pulang ke rumah, itu sahaja tempat untuk kita berehat dan mengecas kembali tenaga yang hilang.

Dan salah satunya adalah dengan saling berkongsi sesama ahli keluarga. Pada waktu inilah anda boleh menanamkan kepercayaan kepada anak-anak anda bahawa rumah adalah tempat yang paling selamat untuk mereka berkongsi atau meluahkan sesuatu.

Inilah yang boleh menjadikannya sebagai salah satu waktu yang berkualiti untuk diluangkan bersama.

Pada waktu inilah si suami boleh mengenali isterinya, si ibu boleh memahami anaknya dengan lebih baik dan anak juga boleh belajar komunikasi yang baik.

Kajian juga menunjukkan bahawa lebih kerap keluarga makan bersama, maka lebih rendahlah kemungkinan anak-anak untuk terlibat dalam gejala sosial dan pengaruh rakan sebaya yang tidak elok.

Manakala, salah seorang pakar antropologi di sebuah universiti di New Jersey ada menyebut bahawa ia juga merupakan salah satu aktiviti yang boleh mengajar anak-anak menjadi anggota masyarakat yang lebih berhemah.

Yang paling penting adalah keakraban hubungan kekeluargaan itu dapat dibentuk dan boleh memberi kesan yang positif kepada seluruh ahli keluarga.

Jadi, peruntukan satu masa untuk makan bersama ahli keluarga anda sama ada ketika sarapan mahupun makan malam; mana-mana yang dirasakan sesuai.

#Menuju2021
#PE1H

The post #12 - Peruntukan Masa Untuk Makan Bersama Ahli Keluarga first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.