Zikir Ma’thurat Di Waktu Pagi – Bila Afdal Membacanya
Banyak cara yang boleh dilakukan untuk kita mengingati Allah, bukan sekadar di dalam solat.
Sebab itu, ada banyak zikir sama ada dalam bentuk istighfar mahupun selawat yang diajar dan dianjurkan untuk dibaca dan betapa mudahnya cara untuk mengingati Allah adalah ia boleh dilakukan pada bila-bila masa.
Bahkan, Allah sendiri telah berfirman melalui kalamNya yang menyuruh agar hambaNya sentiasa berzikir baik di hati mahupun lisan bukan sekadar apabila tiba waktu solat sahaja.
وَاذْكُرِ اسْمَ رَبِّكَ بُكْرَةً وَأَصِيلًا
Mafhum: “Dan sebutlah dengan lidah atau dengan hati akan nama tuhanmu (di dalam dan di luar sembahyang), pada waktu pagi dan petang.” (Surah Al-Insan, 76:25)
Dan di antara zikir yang telah menjadi amalan para ulama sedari dulu ialah Al-Ma’thurat yang dibaca pada waktu pagi dan petang.
Ia merupakan himpunan doa dan zikir yang menjadi amalan Baginda SAW dan dibukukan oleh Imam Hassan Al-Banna.
Umum mengetahui ia sesuai dibaca pada waktu pagi dan petang. Namun, bilakah waktu yang terbaik untuk membacanya?
Ada beberapa perbahasan ulama mengenai hal ini, iaitu;
#1 – Terbit fajar sehingga terbit matahari secara sempurna – Pendapat ini dinyatakan oleh Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah, Ibnul Qayyim dan beberapa pendapat ulama lain lagi.
#2 – Terbit fajar sehingga waktu zawal – Waktu zawal juga dikenali sebagai waktu Istiwa, iaitu waktu ketika matahari berada tegak di atas kepala.
Pendapat ini dinyatakan oleh Al-Lajnah ad-Daimah melalui fatwanya dan dipersetujui oleh Syaikh Muhammad bin Sholeh Ali ‘Utsaimin.
#3 – Terbit fajar sehingga matahari tenggelam – Ibnul Jazari berpendapat bahawa boleh membaca zikir ini sehingga matahari tenggelam.
Adapun, pendapat pertama adalah yang dipersetujui dan lebih afdal untuk diamalkan. Hal ini juga ada disebut dalam beberapa kitab lain oleh pandangan ulama seperti Fatawa Asy-Syabakah al-Islamiyyah;
Maksud: “Waktu pagi dimulai semenjak pertengahan hujung dari waktu malam dan waktu yang afdal untuk zikir pagi adalah setelah solat Subuh sehingga terbitnya matahari secara sempurna.” (Asy-Syabakah Al-Islamiyyah: 10/1161)
Kesimpulan
Waktu pagi adalah waktu yang sangat segar untuk melakukan apa-apa aktiviti dan juga waktu terbaik untuk mengamalkan zikir atau berdoa.
Waktunya juga sangat luas, jadi apabila punya kesempatan, perbanyakkanlah zikir dan doa kepada Allah.
Wallahu a’alam.
Rujukan:
Rumaysho.com
The post Zikir Ma'thurat Di Waktu Pagi - Bila Afdal Membacanya first appeared on Tazkirah.
No comments: