Ads Top

Yang Dimaksudkan Dengan Mencintai Saudaranya Melebihi Dirinya Sendiri

Dalam kehidupan ini, manusia tidak lari dari bersosial dan berhubungan sesama insan. Sama ada hubungan itu adalah sesama adik-beradik, jiran tetangga dan juga sahabat handai, semuanya adalah hubungan persaudaraan yang perlu dijaga.

Ia adalah termasuk dalam silaturrahim yang perlu sentiasa dihubungkan dan tidak boleh memutuskannya dengan sengaja.

Ada sebuah hadis yang menyebut bahawa orang yang bersaudara ini perlulah menyayangi saudaranya sama seperti ia menyayangi dirinya sendiri.

Maksud: “Dari Abu Hamzah Anas bin Malik, pembantu Rasulullah SAW, Nabi SAW bersabda: “Salah seorang di antara kalian tidaklah beriman (dengan iman yang sempurna) sehingga ia mencintai saudaranya sebagaimana ia mencintai dirinya sendiri.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Apa yang dimaksudkan dengan mencintai saudaranya di sini? Dalam hal ini, jumhur ulama meletakkan beberapa pandangan, iaitu:

#1 – Mencintai Dalam Urusan Agama

Seseorang yang mencintai saudaranya adalah disebabkan ia ingin agar saudaranya itu turut merasai nikmat beragama dan Islam. Dalam hal ini, mereka perlu saling mengajak ke arah kebaikan dan mencegah ke arah kemungkaran.

#2 – Tidak Hasad Dengan Apa Yang Dimiliki

Setiap orang mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Ada dalam kalangan kawan kita yang mungkin sudah berjaya mempunyai kerja tetap pada usia 23 tahun. Ada pula yang sudah berjaya memiliki rumah pada usia 25 tahun.

Kejayaan ini tidak sepatutnya dijadikan sebagai modal untuk bergaduh atau dengki kerana tugas kawan yang sebenarnya adalah sentiasa memberi sokongan dan motivasi kepada kawannya untuk lebih maju ke hadapan.

Jika dengki dengan kejayaan saudaranya, itu adalah salah satu tanda hati yang sakit.

Maksud: “Tidak boleh hasad (ghibtoh) kecuali pada dua orang, iaitu orang yang Allah anugerahkan padanya harta lalu ia infakkan pada jalan kebaikan dan orang yang Allah beri kurnia ilmu (Al-Quran dan As-Sunnah), ia mengamalkannya dan mengajarkannya.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 73)

Kesimpulan

Kita mengetahui hakikat kehidupan ini adalah hidup secara bermasyarakat. Walaupun kita cuba untuk bersendiri, tetapi akan ada masanya kita memerlukan orang sekeliling untuk membantu melengkapi keperluan zahir dan rohani sendiri.

Justeru, sayangilah saudara kita dan orang sekeliling seperti mana anda menyayangi diri sendiri.

Rujukan:
Rumaysho.com




No comments:

Powered by Blogger.