PETRA KASIH Anjur Konsert Sempena Hari Malaysia, Imbas Kembali Konsert Ikhlas 1992
Bersempena dengan sambutan Hari Malaysia yang ke-57, Petra Kasih telah mengambil inisiatif dengan menganjurkan sebuah acara iaitu The PETRA KASIH Concert yang berlangsung di Kota Kinabalu pada 19 September lalu.
Ketua Eksekutif PETRA Visionworks, Datuk Afdlin Shauki berkata, selain untuk meraikan sambutan Hari Malaysia dan menyemarakkan lagi semangat rakyat Malaysia supaya bersatu, ia juga memberi peluang kepada penyanyi-penyanyi untuk membuat persembahan.
“Kalau kita lihat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, peluang penyanyi untuk mengadakan persembahan sangat terbatas. Jadi, selepas PKP, PETRA KASIH terus merancang untuk menganjurkan konsert ini.
“Sepanjang tempoh itu, kami sentidas memantau keadaan supaya keadaan terkawal untuk mengadakan konsert dengan mengikut SOP yang telah ditetapkan dan memilih hari ini (19 September) sebagai sambutan Hari Malaysia,” ujarnya.
Antara barisan artis yang telah menjayakan konsert berkenaan adalah seperti Datuk Zainal Abidin, Datuk Afdlin Shauki, K-Clique, Vince Chong, Dasha Logan, Priwayat dan The 15.
Menurut Afdlin, sepatutnya lebih ramai yang menyertai konsert berkenaan, namun disebabkan situasi terkini yang berlaku di Sabah, ada beberapa orang artis yang menarik diri pada saat-saat akhir.
Dalam pada itu, Afdlin memberitahu bahawa PETRA KASIH Concert ini juga adalah sebagai usaha untuk mengimbas semula Konsert Ikhlas yang pernah dianjurkan pada tahun 1992 membabitkan nama-nama besar iaitu Datuk Zainal Abidin, Datuk Sheila Majid dan beliau sendiri.
Afdlin berkata, menerusi konsert ini juga ia adalah titik permulaan untuk PETRA KASIH menganjurkan sebuah konsert lebih besar seakan-akan Konsert Ikhlas 1992 yang dirancang pada tahun hadapan.
Sementara itu, PETRA Group hari ini melancarkan PETRA KASIH, satu inisiatif pemulihan ekonomi serta menaikkan semangat orang ramai dalam keadaan wabak Covid-19.
Ketua Eksekutif PETRA Group, Datuk Dr Vinod Sekhar mengatakan, “Dalam menghadapi Covid-19, kita perlulah bermuafakat dan tidak berprasangka. Negara dan rakyat kita terjejas dengan serius dari segi ekonomi, kehilangan pendapatan, perniagaan yang gulung tikar, serta kesukaran untuk
dapat memenuhi keperluan asas.
“PETRA Group ingin mewujudkan penyelesaian demi nilai kemanusiaan. Justeru, kami melancarkan PETRA KASIH sebagai inisiatif membantu rakyat Malaysia dan menyumbang kepada pemulihan negara. Salah satu agenda penting nasional ialah supaya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan petani,yakni tulang belakang ekonomi kita, diberikan
bantuan kewangan dan perlindungan dalam situasi sukar ini,” ujar beliau.
PETRA KASIH merangkumi empat program utama iaitu skim pelaburan pembiayaan mikro, program sokongan perladangan, pengenalan dan penanaman baru bernilai tinggi, serta persembahan untuk industri kreatif tempatan. – KopiPlanet.com
The post PETRA KASIH Anjur Konsert Sempena Hari Malaysia, Imbas Kembali Konsert Ikhlas 1992 appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: