Malaikat Mendoakan Anda Yang Sering Memberi Nafkah
Memberi nafkah merupakan salah satu amalan mulia dan dikategorikan sebagai salah satu perbuatan memberi sedekah.
Bersedekah merupakan salah satu amalan yang akan mengalir sehingga kita telah meninggal dunia dan ia adalah antara saham akhirat kelak.
Dan nafkah merupakan perbelanjaan kepada keperluan manusia seperti makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal dan sebagainya.
Nafkah itu diberikan berdasarkan kemampuan dan bukan dengan tujuan untuk membebankan diri atau menunjuk-nunjuk melebihi apa yang perlu.
Sebagaimana sebuah dalil yang dinyatakan dalam Al-Quran yang bermaksud:
Mafhum: “Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya.” (Surah At-Talaq, 65:7)
Memberi makan kepada ahli keluarga itu perlu diutamakan berbanding dengan mendahulukan orang lain.
Bersedekah itu adalah amalan sunat yang dianjurkan, namun apa kata sebelum kita melihat kepada orang luar, pandang dulu adik beradik mahupun anak-anak kita; sudah cukupkah makan mereka? Sudah elokkah pakaian mereka? Selesakah tempat tinggal mereka dan segala keperluan yang lain.
Sebagaimana ada sebuah hadis dari Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda;
Maksud: “Dan dinar (harta) yang kamu belanjakan di jalan Allah dan dinar yang kamu berikan kepada hamba (untuk membebaskan) dan dinar yang kamu sedekahkan kepada orang miskin serta dinar yang kamu sedekahkan kepada keluargamu, maka yang paling besar ganjarannya adalah yang kamu sedekahkan kepada keluargamu.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 995)
Doa Malaikat Agar Diberikan Ganjaran
Dan para malaikat juga akan menitipkan doa buat mereka yang sentiasa berusaha untuk memberi nafkah kepada ahli keluarganya.
مَا مِنْ يَوْمٍ يُصْبِحُ الْعِبَادُ فِيهِ إِلاَّ مَلَكَانِ يَنْزِلاَنِ فَيَقُولُ أَحَدُهُمَا اللَّهُمَّ أَعْطِ مُنْفِقًا خَلَفًا ، وَيَقُولُ الآخَرُ اللَّهُمَّ أَعْطِ مُمْسِكًا تَلَفًا
Maksud: “Ketika hamba berada di setiap pagi, ada dua malaikat yang turun dan berdoa; “Ya Allah, berikanlah ganti kepada yang gemar berinfak (rajin memberi nafkah kepada keluarga).” Malaikat yang lain berdoa; “Ya Allah, berikanlah keburukan kepada yang enggan bersedekah (memberi nafkah).” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 1442)
Para ulama menyebutkan bahawa doa malaikat adalah yang mustajab dan mudah untuk dikabulkan.
Siapa yang tidak mahu doa dari malaikat sedangkan mereka adalah makhluk yang dekat dengan Allah.
Sebab itu, salah satu caranya adalah dengan menyediakan keperluan yang mencukupi kepada ahli keluarga anda.
Jika anda seorang ayah, maka laksanakan tanggungjawab itu sebaiknya. Jika anda seorang ibu, maka sediakan keperlan yang elok kepada anak-anak anda. Jika anda seorang anak, pastikan anda mendahului adik-beradik dan ibu bapa terlebih dahulu sebelum melihat kepada orang lain.
Jangan menjadi seperti pepatah anak kera di hutan disusui, anak sendiri di rumah kebuluran.
Wallahu a’alam.
Rujukan:
Rumaysho.com
Mufti Wilayah
The post Malaikat Mendoakan Anda Yang Sering Memberi Nafkah first appeared on Tazkirah.
No comments: