Lisdawati Akan Cari Salah Sendiri Sekiranya Rumah Tangga Bermasalah
Setiap perkahwinan tidak pernah terlepas dengan pelbagai dugaan, begitu juga buat rumah tangga pelakon Lisdawati dan suami, Fauzi Nawawi.
Menurut Lisdawati atau nama sebenarnya, Nisdawati Nazaruddin, 42, sekiranya rumah tangga mereka mempunyai masalah, dia terlebih dahulu akan mencari apa kesalahan yang dilakukannya terlebih dahulu agar ia dapat diselesaikan.
“Setiap perkahwinan memang ada ujian dan masing-masing perlu memainkan peranan untuk mencari jalan penyelesaian. Alhamdulillah, rumah tangga saya dengan suami baik-baik sahaja.
“Macam apa yang saya selalu buat, dalam setiap dugaan melibatkan perhubungan, saya akan cari salah saya dahulu dan kemudian barulah kita boleh berbincang dan selesaikan masalah dengan komunikasi yang baik,” katanya kepada KopiPlanet.com.
Lisdawati ditemui pada majlis sidang media perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) serta pelancaran program Nurkids & Turath yang berlangsung di Skyforest, Acapella Suite Hotel, Shah Alam, baru-baru ini.
Menurut pelakon KL Menjerit itu lagi, dalam setiap masalah yang dihadapi dia lebih senang mengadu kepada Allah SWT agar hatinya menjadi tenang dan tenteram.
“Macam saya kalau tidak dapat mengadu dengan seseorang yang lebih dekat, saya akan mengadu dengan Allah.
“Kadang-kadang bila kita mengadu pada Allah, saya akan menangis dan perasaan itu datang secara tiba-tiba,” ujarnya.
Lisdawati berkahwin dengan Fauzi pada 9 September 2007 dan hasil perkahwinan, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata, Nur Aina Farhana, Nur Aina Fazneesya, Ahmad Nur Fyrdaus dan Ahmad Nur Fayyadh.
Fauzi turut memiliki empat orang anak hasil perkahwinan terdahulu iaitu Nurul Hainil Fatihah, Fareez Hazwan, Nurul Hana Farisya dan Mohd Fikri Hakimi. – KopiPlanet.com
The post Lisdawati Akan Cari Salah Sendiri Sekiranya Rumah Tangga Bermasalah appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: