Hukum Makmum Membaca Al-Fatihah Ketika Imam Sedang Membacanya
Pernah tak anda berada dalam situasi solat berjemaah dan ketika itu imam sedang membaca surah Al-Fatihah, kemudian anda juga terikut membacanya sekali.
Mungkin bacaan itu adalah disebabkan anda terlupa bahawa sepatutnya waktu itu anda perlu diam ataupun anda bimbang jika bacaan imam itu terlalu laju sehingga nanti anda tidak sempat untuk menghabiskan bacaan Al-Fatihah tersebut.
Dalam hal ini, pertama kita melihat kepada hukum membaca Al-Fatihah ketika imam sedang membacanya. Jumhur ulama dalam mazhab Syafi’e menyebutkan bahawa perlu diam ketika imam sedang membacanya.
Hal ini sebagaimana dalam sebuah hadis seperti yang telah diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA:
Maksud: “Nabi SAW solat bersama para sahabatnya yang kami kira ia adalah solat Subuh. Beliau kemudian bersabda: “Apakah ada salah seorang daripada kamu yang membaca surah (di belakangku).” Seorang lelaki menjawab: “Saya.” Baginda kemudian bersabda: “Kenapa aku ditandingi dalam membaca Al-Quran?” (Hadis Riwayat Ibn Majah, no. 848)
Justeru, makruh ke atas makmum yang membaca Al-Fatihah semasa imam juga sedang membacanya.
Walau bagaimanapun, kita melihat kepada situasi apabila makmum itu berasa takut akan terlepas bacaan itu kerana memahami bahawa imam itu bacaannya laju.
Dalam hal ini, ia adalah dibolehkan, iaitu harus hukumnya. Dan tidak menjadi kesalahan jika makmum terlupa, iaitu membaca surah Al-Fatihah kerana tidak perasan atau tidak tersedar.
Namun, perkara ini perlu dielakkan kerana ia sudah dianggap sebagai tidak khusyuk dalam solat.
Kesimpulan
Dapat difahami di sini, bacaan Al-Fatihah itu wajib dibaca sama ada solat bersendirian atau bersama imam.
Namun, tidak boleh mendahului imam atau membaca bersamanya (ketika imam membacanya secara kuat). Hukumnya adalah makruh.
Tetapi dikecualikan jika memahami bahawa imam itu bacaannya laju dan bimbang tidak sempat dibaca.
Wallahu a’alam.
Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan
The post Hukum Makmum Membaca Al-Fatihah Ketika Imam Sedang Membacanya first appeared on Tazkirah.
No comments: