Ads Top

Berlumba-Lumba Dalam Kebaikan – Jangan Dilupa Orang Sekeliling

Saya nak bawakan sebuah situasi yang mungkin boleh dijadikan perumpamaan untuk entri kali ini.

Semasa musim peperiksaan, tidak kiralah pada zaman persekolahan mahupun di peringkat universiti, kita pasti ada seorang kawan yang akan dijadikan sebagai titik tolak untuk berjaya.

Ertinya di sini ialah, anda dan kawan itu akan sama-sama berusaha untuk berjaya dalam peperiksaan, dalam masa yang sama kalian akan berlumba untuk mendapat markah yang paling tinggi.

Persaingan ini dinamakan sebagai persaingan yang sihat dan sebagai salah satu motivasi serta pembakar semangat untuk berjaya.

Apa kena-mengena situasi ini dengan tajuk entri kali ini? Berlumba dalam berbuat baik adalah diibaratkan dengan perlumbaan kita untuk berjaya dalam peperiksaan.

Bayangkan, jika kita punya kawan yang boleh sama-sama memandu kita ke arah kejayaan itu sama dengan kawan yang boleh memimpin kita ke arah kebaikan, itu kan lebih baik?

Sebab hidup manusia ini saling bergantung dan memerlukan untuk sama-sama ke arah yang lebih baik.

Galakan untuk Berlumba Ke Arah Kebaikan

Dalam Islam sendiri, manusia digalakkan untuk berlumba ke arah kebaikan. Berlumba di sini bukanlah untuk riak atau membangga diri, namun untuk merebut ganjaran yang Allah berikan.

Sebagai contoh, berlumba untuk mendapat saf yang pertama ketika solat berjemaah di masjid, berlumba untuk menghulurkan bantuan dan sebagainya.

Perlumbaan ini adalah sebagai semangat untuk kita sentiasa istiqamah di jalan Allah. Namun, dalam masa yang sama, jangan pula kita mengabaikan orang lain.

Sebagai contoh, jika kita punya kawan, ajaklah dia untuk sama-sama merebut pahala itu. Kejut teman sebilik kita untuk bangun menunaikan solat Subuh sama-sama atau ajak ahli keluarga anda untuk solat berjemaah.

Ia adalah amalan yang nampak kecil namun boleh memberikan impak yang besar kepada seseorang.

Ada orang yang tidak bersemangat melakukan kebaikan kerana tiada dorongan daripada orang sekeliling.

Justeru, dalam kita berbuat kebaikan, lihat orang sekeliling dan ajaklah mereka berjalan bersama anda.

Berlumbalah dalam kebaikan sama seperti anda berlumba ketika menghadapi peperiksaan.

Sama-sama merebut tempat pertama tetapi saling membantu dan tidak meninggalkan rakan anda bersendirian.

Sebab itu juga merupakan salah satu amalan kebaikan yang besar ganjarannya di sisi Allah.

Mafhum: “Berlumba-lumbalah kamu (mengerjakan amal-amal yang baik) untuk mendapat keampunan dari tuhan kamu dan mendapat syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan rasulNya.” (Surah Al-Hadid, 57:21)

Wallahu a’alam.

The post Berlumba-Lumba Dalam Kebaikan - Jangan Dilupa Orang Sekeliling first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.