Ads Top

‘Ghosting’ – Bagaimana Ia Berlaku & Apa Tindakan Kita (Siri II)

Sambungan: ‘Ghosting’ – Bagaimana Ia berlaku & Apa Tindakan Kita (Siri I)

Mengapa Ghosting Berlaku?

Gili Freedman dan rakan sekajiannya menyimpulkan bahawa terdapat dua jenis watak manusia di dalam isu ghosting ini.

Kedua-dua watak ini menatijahkan tentang bagaimana sesebuah perhubungan itu boleh berakhir;

#1 – Destiny Belief (Kepercayaan pada takdir)

#2 – Growth Belief (Kepercayaan pada usaha perkembangan)

Orang yang ada kepercayaan pada takdir semata-mata akan memandang bahawa perhubungan itu dari kaca mata hitam putih, iaitu jika sesuai, maka akan diteruskan seperti biasa. Jika tidak, ia akan ditinggalkan begitu sahaja kerana baginya kalau sudah takdir tidak kemana.

Manakala orang yang berperwatakan kedua pula mempunyai pandangan bahawa sesebuah hubungan itu dipenuhi dengan usaha keras, kerjasama, dan bagaimana kedua-dua pihak menaburkan pelaburan terhadap hubungan. Jadi, ia tidak akan ditinggalkan dengan mudah.

Tambahan lagi, rumusan kajian ini juga mengaitkan bahawa orang yang berwatak seperti ‘Destiny Belief’ lebih menjerumus kepada watak di dalam masalah klinikal psikologi iaitu sikap Narsistik.

Ia adalah sikap yang mementingkan diri, tidak ada empati malah boleh menjadi lebih dasyat seperti kejam sehingga sanggup berbuat apa sahaja untuk memenuhi tuntutan kehendak diri.

Kadangkala, golongan yang beragama cuba menggunakan helah dengan dalil-dalil yang tampak sedemikian walhal tidak.

Ia adalah rekaan, helah malah manipulasi yang paling hebat yang mereka lakukan atas nama agama.

Kepercayaan “Jabariah” Moden Dalam Perhubungan

Dari rumusan kajian berkenaan dengan watak si ghost (orang yang suka meninggalkan begitu sahaja), dapatlah saya kaitkan dengan masalah akidah yang pernah saya belajar dalam subjek Tauhid semasa semester kedua dahulu.

Fahaman Jabariah dikenali sebagai sebuah fahaman akidah pada zaman dahulu yang hanya berpegang kepada konsep semata-mata, iaitu apa yang terjadi sudah ditentukan oleh Allah swt.

Tidak ada pertimbangan kepada usaha, kerja keras dan baik pulih dari tangan-tangan makhluk.

Sedangkan kita perlu yakin sebagaimana fahaman Ahl Sunnah Wal Jamaah, iaitu ia juga melibatkan usaha dan juga tawakal kepada Allah SWT, sebagaimana firmanNya pada Maryam suatu ketika dahulu :

وَهُزِّي إِلَيْكِ بِجِذْعِ النَّخْلَةِ تُسَاقِطْ عَلَيْكِ رُطَبًا جَنِيًّا.

Mafhum: “Dan goyanglah pangkal pohon kurma itu ke arahmu, nescaya pohon itu akan menggugurkan buah kurma yang masak kepadamu” (Surah Maryam, 19:26).

Syaikh Abdul Aziz Bin Baz, bekas Mufti Saudia ada berkata,

وهذا أمرٌ لها بالأسباب، وقد هزت النخلة وتعاطت الأسباب، حتى وقع الرطب فليس في سيرتها ترك الأسباب

Maksud: “Ini adalah perkara yang memiliki sebab. Maryam menggoyangkan kurma dan sebabnya kurma jatuh. Tidaklah Maryam meninggalkan terus usaha dan terus pasrah semata-mata.” (Majmu’ Fatawa 4/427)

Maka, dalam perihal hubugan juga, jangan ditanam sikap dan budaya kurang empati dengan meninggalkan seseorang itu secara sambil lewa tanpa ada tanggungjawab untuk memutuskannya dengan beradab.

Di dalam hal pertunangan pun, Nabi SAW tidak membenarkan seseorang meminang atas pinangan orang lain selagi hubungannya masih elok dan tidak putus.

Cuba fikirkan, bagaimana orang lain hendak tahu yang seseorang itu sudah putus kalau masalah ghosting ini sudah menjadi budaya yang mekar? Ia umpama kemalangan ngeri yang boleh diibaratkan seperti kemalangan jalan raya.

Berbanding orang yang meninggal dunia dengan cara aman damai di atas katil, perbezaan kepada penerimaan waris tentu berbeza sama sekali dari segi kesakitan perasaan itu.

Kesimpulan

Justeru, tindakan yang boleh dilakukan untuk mengelak daripada di tinggalkan begitu sahaja pada hemat saya adalah memerlukan kemahiran emosi yang tinggi dalam bersosial terutamanya di alam maya pada dunia milennial hari ini.

Acapkali saya dengar, kebanyakan yang melalui pengalaman ditinggalkan ini adalah bermula dengan perkenalan di alam maya.

Walaupun saya percaya internet ada kelebihannya tersendiri, namun ia tidak kurang juga dengan dilema manusia yang berwatak psikopat, machivillianism, dan narsistik yang bertebaran.

Maka mantapkanlah ilmu empati kendiri (self-compassion), Sekuriti Alam Maya (internet security) dan jangan mudah untuk jatuh cinta.

Rujukan:
Mufti Wilayah – AL-KAFI #798: Apa Itu Tunang?
Mufti Wilayah Persekutuan – BAYAN LINNAS SIRI KE-157: Sulh Al-Hudaibiyyah: Fikh, Pengajaran dan Iktibar
What Do We Know About Ghosting?, Gwendolyn Seidman Ph.D.(2018)
Speaking of Psychology: What to Do When You’ve Been Ghosted, Jennice Vilhauer, PhD (2020)

The post 'Ghosting' - Bagaimana Ia Berlaku & Apa Tindakan Kita (Siri II) first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.