Cita-cita Menjadikan Manusia Berjuang Mencapai Lebih Sempurna
Kata Pak Hamka, seorang ulama dan ilmuwan Nusantara, “cita-citalah yang menjadikan manusia berjuang mencapai yang lebih sempurna”.
Kerana cita-cita, kita lebih bersemangat untuk melakukan usaha. Kerana cita-cita, kita menjadi orang yang tidak putus harap meskipun halangan menimpa. Kita bangkit lagi hari ini meskipun kita telah tersungkur semalam, dan kita akan terus bangkit esok hari meskipun hari ini kita hadapi pelbagai cabaran.
Ada satu perbualan menarik berlaku antara Saidina Umar dan beberapa orang sahabat ketika mereka berkumpul dalam sebuah rumah. Saidina Umar bin Al-Khattab berkata kepada sahabat-sahabatnya;
“Tunjukkan cita-cita kamu.” Salah seorang menjawab, “Aku bercita-cita rumah ini dipenuhi dengan emas, agar aku dapat infakkan di jalan Allah dan bersedekah!”
Ditanya pula soalan yang sama pada sahabat lain lalu ada yang menjawab, “Aku bercita-cita rumah ini dipenuhi zamrud dan batu permata agar aku dapat infakkan di jalan Allah dan bersedekah!”
Kemudian Saidina Umar RA bertanya lagi: “Tunjukkan cita-cita kamu.” Mereka menjawab” “Kami tidak tahu wahai Amir Al-Mukminin.”
Lalu Umar RA berkata: “Aku bercita-cita agar rumahku dipenuhi pemuda-pemuda seperti Abu Ubaidah Ibn Al-Jarrah, Muadz bin Jabal, Salim Maula Abi Huzaifah dan Huzaifah bin Al-Yaman.” (Riwayat Al-Hakim dalam Al-Mustadrak, no.5005 dan Abu Nu’aim dalam Hilyah al-Auliya’, no.318)
Pemuda-pemuda yang disebutkan oleh Saidina Umar itu adalah mereka yang bukan calang-calang berjuang untuk Islam. Ada yang merupakan pahlawan di medan perang, ada pula cendekiawan yang mempunyai pemahaman yang luas dalam ilmu, pemegang rahsia Nabi dan lain-lain.
Justeru dapat kita lihat, apabila bercakap tentang impian dan cita-cita, ia bukan hanya tentang mendapat hal-hal buat kebahagian dan kesenangan hidup di dunia sahaja, malah sebagai umat Islam, kita juga dimestikan bercita-cita untuk akhirat kerana itulah hakikat tujuan hidup yang sebenarnya.
Cita-cita kita untuk terus berusaha mendapatkan kebahagian hidup di dunia tidak salah, namun jangan lupa bahawa cita-cita yang lebih besar ialah kehidupan yang bermanfaat untuk orang lain.
خَيْرُ الناسِ أَنْفَعُهُمْ لِلناسِ
“Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia” (HR. Ahmad, ath-Thabrani, ad-Daruqutni – Hadis ini dihasankan oleh al-Albani di dalam Shahihul Jami’ , no.3289)
The post Cita-cita Menjadikan Manusia Berjuang Mencapai Lebih Sempurna first appeared on Tazkirah.
No comments: