Ads Top

Bolehkah Mandi Bunga Untuk Dipercepatkan Jodoh

Amalan mandi bunga merupakan salah satu terapi yang digunakan dalam perbuatan Melayu yang kekal sehingga hari ini.

Ia termasuk dalam salah satu perubatan tradisional yang menggunakan sumber alam seperti tumbuh-tumbuhan dan akar-akar kayu.

Salah satu sebab diamalkan mandi bunga adalah untuk kesegaran tubuh badan, mengharumkan diri sekali gus menambahkan aura keyakinan kepada si pengamal.

Biasanya, perempuan yang bakal melangsungkan perkahwinan akan mengamalkan mandi bunga ini.

Bahkan, sehingga ke hari ini, bakal pengantin mahupun wanita-wanita yang berkelapangan akan mendapatkan rawatan mandi bunga ini di spa-spa yang menyediakan khidmat tersebut ataupun yang dilakukan di rumah sendiri.

Antara bunga yang sering diguna adalah yang berbau wangi seperti mawar, cempaka, kenanga, kemboja, bunga raya, akar dani dan susun kelapa.

Ramuan-ramuan ini akan dicarik-carikkan dan dicampur di dalam air. Ia akan dibiarkan seketika sehingga aroma bunga naik dan pengamal boleh bersiram atau berendam dengan air tersebut selepas membersihkan diri terlebih dahulu.

Ia adalah sebagai terapi kepada diri sendiri sekali gus untuk memberikan wangian dan aura kepada tubuh badan.

Hukum Mandi Bunga

Melihat kepada amalan orang Melayu kita yang menggunakan mandian bunga ini sebagai tujuan menaikkan seri wajah atau untuk mewangikan diri sendiri, hukumnya adalah dibolehkan.

Menurut pandangan daripada Mufti Wilayah, jika ia dijadikan sebagai salah satu ikhtiar untuk kesihatan badan, kesegaran atau memulihkan semangat dan menaikkan aura semata-mata, maka tidak mengapa.

Namun, jika ia disertai dengan unsur syirik atau khurafat; contohnya untuk membuang sial atau mempercepatkan jodoh, maka hukumnya adalah haram.

Ia termasuk dalam dosa besar yang perlu dijauhi. Kalau kita tengok amalan-amalan yang pernah dilakukan kepada orang yang lambat jodoh, pasti mereka akan menyuruh untuk mengamalkan mandi bunga. Di sini, niatnya perlu diperbetulkan.

Jika untuk membantu mendatangkan aura positif kepada diri sendiri, dibolehkan. Namun, jika untuk mempercepat jodoh atau menghalau sial, ia adalah berdosa.

Kesimpulan

Dapat difahami di sini bahawa amalan mandi bunga itu merupakan amalan tradisional masyarakat Melayu kita dengan tujuan yang berbeza.

Ada yang mandi bunga untuk mewangikan diri dan ada juga dengan tujuan yang bersifat khurafat.

Hukumnya bergantung kepada niat sendiri. Yang paling penting adalah tidak ada unsur-unsur syirik.

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan
Amalan Perubatan Mandi Bunga

The post Bolehkah Mandi Bunga Untuk Dipercepatkan Jodoh first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.