Ads Top

Bagaimana Untuk Mendapatkan Kekayaan Hati

Pernahkah kita sentiasa merasa gelisah. Jika tidak dapat apa yang kita mahukan, kita gelisah. Jika dapat pun kemudian kita gelisah lagi. Seolah-olah hati tidak pernah merasa puas dengan apa yang diperoleh. Ia mahukan lagi dan lagi.

Sedangkan kita sentiasa diingatkan bahawa kekayaan sebenar adalah kekayaan hati.

Bukanlah kekayaan itu kerana banyaknya harta, akan tetapi kekayaan itu adalah kaya hati (jiwa).

Apa yang dimaksudkan kaya hati?

Kata Ibnu Hajar Al-Asqolani, kaya hati bermakna kita merasa cukup pada segala yag dihajati. Manakala kata Imam Nawawi pula ia adalah rasa puas dan tidak tamak mencari kemewahan dunia.

Justeru bagaimana untuk memiliki hati yang kaya?

Iaitu apabila kita menumpukan tujuan hidup untuk akhirat. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Barangsiapa tujuan hidupnya adalah dunia, maka Allah akan mencerai-beraikan urusannya, menjadikan kefakiran di kedua pelupuk matanya, dan ia tidak mendapatkan dunia kecuali menurut ketentuan yang telah ditetapkan baginya. Barangsiapa yang niat (tujuan) hidupnya adalah negeri akhirat, Allah akan mengumpulkan urusannya, menjadikan kekayaan di hatinya, dan dunia akan mendatanginya dalam keadaan hina.” (Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam Musnadnya – Hadis dinilai sahih)

Allah berjanji bahawa orang yang menjadikan tujuan hidupnya akhirat, Allah akan menguruskan urusannya, menjadikan hatinya kaya malah akan diberikan pula kecukupan dunia.

Allah tidak melarang kita mencari keperluan dunia untuk hidup namun jangan sampai menjadikannya sebagai tujuan dan matlamat, sehingga kita lupa tujuan hidup sebenar adalah akhirat.

Orang yang sedar bahawa matlamat hidupnya bukan di dunia semata, maka dia akan meletakkan kompas akhirat dalam setiap urusan hidup, dengan merasakan setiap apa yang dilakukan hanyalah untuk mendapatkan keredaan Allah dan akan dihisab di akhirat.

Apabila bekerja, dia bekerja dengan amanah dan tidak mencuri tulang. Apabila dia bercakap, dia bercakap benar dan tidak menipu. Apabila dengan keluarga, dia berbakti dengan sebaiknya. Apabila melakukan ibadah khusus, dia berusaha menjaga kualiti dan mencari kekhusyukan. Pendek kata, semua tindakan diarahkan kepada hal yang baik.

Setiap perintah Allah cuba dipenuhi dengan sebaiknya. Demikianlah usahanya untuk mendapatkan kekayaan hati. Ia suatu yang perlu diusahakan dengan bersungguh-sungguh.

Dan di akhirnya, kita menyedari dan mengakui bahawa hidup ini hakikatnya satu persinggahan untuk mengumpul ‘bekal baik’ sebelum menyambung lagi perjalanan ke alam akhirat. Kita tidak mahu pulang ke ‘sana’ dalam keadaan hati yang miskin dan sentiasa berasa tidak cukup dengan apa yang telah Allah berikan.

Rujukan:

  1. Almanhaj.or.id
  2. Islam.gov.my

The post Bagaimana Untuk Mendapatkan Kekayaan Hati first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.