Berfikir Perkara Haram Ketika Solat – Sahkah Solatnya?
Bukan mudah untuk mendapatkan khusyuk di dalam solat. Seseorang itu perlu benar-benar menghadirkan hatinya bagi menghayati setiap bacaan untuk mengingati Allah.
Apabila dilihat pada kisah-kisah para sahabat pun, mereka juga kadang-kadang tidak lari daripada memikirkan hal keduniaan. Contohnya Saidina Umar yang teringat mengenai peperangan.
Maksud: “Sesungguhnya aku mempersiapkan tenteraku (memikirkan mengenainya) ketika aku sedang menunaikan solat.” (Sahih al-Bukhari, 1/427)
Yang paling penting ialah kita sendiri yang perlu berusaha untuk meletakkan hati kepada Allah ketika solat.
Jangan pula kita sendiri yang memilih untuk berfikir perkara-perkara keduniaan sewaktu menunaikan solat.
Berfikir itu adalah lumrah manusia yang kita sendiri tidak boleh lari darinya. Jadi, jumhur berpendapat bahawa ia adalah tidak mengapa dan solatnya sah.
Namun, jika ia dilakukan dengan terlalu kerap sehingga menyebabkan terlupa bilangan rakaat atau terlupa bacaan solat, maka dia sudah tergolong dalam golongan yang lalai.
Jadi, dalam hal ini, hukumnya adalah dimakruhkan. Walaupun solatnya sah, namun ia adalah perkara yang perlu dielakkan.
Imam Nawawi menyebut – “Disunatkan khusyuk dan merendah diri dalam solat serta mentadabbur Al-Quran, zikir dan apa yang berkaitan dengannya. Juga, hendaklah dia berpaling daripada memikirkan mengenai apa-apa perkara yang lain (yang tidak berkaitan) dan banyak memikirkannya, solatnya tidak batal tetapi hukumnya adalah makruh sama ada perkara yang difikirkan adalah diharuskan atau diharamkan seperti meminum arak.” (Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/32)
Dalam hal ini, ulama termasuk Imam Nawawi menyebut bahawa sama ada perkara yang difikirkan itu adalah yang berbentuk perkara biasa atau yang haram, hukumnya adalah sama, iaitu makruh.
Namun, solatnya masih sah dan tidak perlu diulang semula. Melainkan jika solatnya itu tertinggal rukun-rukunnya atau sehingga terbatal disebabkan bercakap dan sebagainya.
Kesimpulan
Menunaikan solat bukan sahaja dengan melakukan rukun-rukun solat dan berdiri menghadap kiblat, namun ia meliputi setiap perkara termasuklah menghadirkan hati dengan mengingati Allah.
Justeru, cubalah sedaya upaya untuk tidak memikirkan hal-hal keduniaan semasa di dalam solat.
Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan
No comments: