Bagaimana Untuk Zuhud Lahir Dan Batin
Kita kerap mendengar pesanan daripada kalangan agamawan supaya hidup dalam keadaan zuhud. Namun tahukah kita apakah maksud zuhud yang sebenar?
Zuhud daripada sudut bahasa bererti meninggalkan suatu yang tidak bermanfaat untuk akhirat. Itulah makna zuhud seperti yang dipetik oleh Ibnu Qayyim daripada gurunya Syaikh Ibnu Taimiyyah.
Dalam erti kata lain, seseorang itu mengambil kadar yang diperlukan sahaja daripada apa yang ada di dunia dan tidak berlebih-lebihan.
Walau bagaimanapun, zuhud terhadap dunia bukan bermakna perlu mengharamkan apa yang telah dihalalkan oleh Allah dan mensia-siakan pula harta.
Kita dapat memahami bahawa tindakan zuhud ini boleh dilakukan secara zahir (fizikal) dan batin (dalaman).
Zuhud Secara Lahir
Zuhud secara fizikal atau lahir bermakna seseorang itu mengambil apa yang diperlukan daripada makanan, pakaian, hiburan dan tempat tinggal mengikut kadar yang diperlukan sahaja.
Imam Ahmad pernah mengatakan bahawa zuhud secara lahir adalah apabila seseorang makan makanan namun bukan secara berlebih-lebihan, memakai pakaian pun tidak secara berlebihan dan bersabar di hari-hari penuh kesulitan.
Zuhud Secara Batin (Dalaman)
Zuhud secara dalaman dapat difahami dengan memastikan hati tidak terikat dengan dunia mahupun merasa cinta dengan dunia.
Allah Taala berfirman,
لِكَيْ لَا تَأْسَوْا عَلَى مَا فَاتَكُمْ وَلَا تَفْرَحُوا بِمَا آتَاكُمْ
“Supaya kamu jangan berduka cita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikanNya kepadamu.” (Surah Al Hadid 57:23)
Malah antara hal-hal dalaman lain yang nyata tidak bermanfaat untuk akhirat seperti rasa sombong, angkuh, dengki dan iri hati. Perasaan sebeginilah yang perlu ditinggalkan bagi memperoleh hati yang zuhud
Tuntasnya, setiap orang boleh berusaha mencapai zuhud daripada aspek luaran mahupun dalaman. Semoga kita mampu mendidik hati sedikit demi sedikit sehingga akhirnya berupaya menjadi hamba yang zuhud dan tahu beza antara perkara yang mustahak atau tidak untuk bekalan hidup di akhirat.
The post Bagaimana Untuk Zuhud Lahir Dan Batin first appeared on Tazkirah.
No comments: