Ads Top

Bagaimana Menjadikan Amal Ibadat Anda Tidak Sia-Sia

Sebelum ini, Tzkrh pernah berkongsi kepada anda mengenai sebab mengapa amalan dan ibadah boleh menjadi sia-sia. Jadi, kali ini kita akan melihat kepada bagaimana untuk menjadikan amalan anda diterima dan tidak dilakukan dalam keadaan sia-sia.

#1 – Menjaga Pemakanan

Makanan atau apa yang kita minum akan menjadi sumber dan darah daging kita dan itulah yang akan membentuk diri kita sendiri.

Dalaman perlu dijaga dengan sebaik mungkin kerana jika baik yang di dalamnya, maka ia akan menzahirkan yang baik-baik.

Menjaga pemakanan itu bukan sekadar menitikberatkan yang halal dan haram semata-mata, namun yang boleh memberi kesihatan kepada diri kita sendiri.

Diri kita adalah pinjaman dari Allah dan merupakan hak yang perlu dijaga sebaik mungkin. Jika kita menjaga kesihatan, mudahlah untuk kita melaksanakan ibadah kepada Allah.

#2 – Beri Perhatian Kepada Orang Tua

Ibu bapa merupakan insan yang sangat berjasa kepada anak-anak dan reda Allah juga bergantung kepada reda ibu bapanya.

Jangan derhaka kepada mereka dan dalam masa yang sama, jagalah mereka sebagaimana mereka pernah memberikan sepenuh hati untuk menjaga kita sejak dari kecil.

Sebagaimana ada sebuah hadis daripada Abu Darda’, bahawa beliau mendengar Baginda SAW bersabda:

Maksud: “Ibu bapa (orang tua) merupakan pintu tengah syurga, jika kamu mahu letakkanlah pintu itu atau jagalah ia.” (Hadis Riwayat Tirmizi, no. 1900)

#3 – Ikhlas Dalam Beribadah

Ini adalah bahagian yang paling penting. Ikhlas itu adalah nilai utama yang perlu dititkberatkan.

Jangan beribadah semata-mata mendapatkan perhatian dan mata manusia, jangan melakukan sesuatu untuk mendapat pujian dari manusia, tetapi tetapkanlah dalam hati anda bahawa ia perlu dilakukan kerana Allah.

Maksud: “Sesungguhnya setiap amalan harus disertai dengan niat. Setiap orang hanya akan mendapatkan balasan bergantung pada niatnya. Barangsiapa yang hijrah kerana cinta kepada Allah dan rasulNya, maka hijrahnya akan sampai kepada Allah dan rasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana inginkan perkara dunia, maka dia (hanya) akan mendapat apa yang diingini.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 6689)

Kesimpulan

Kehidupan dunia ini adalah jambatan untuk menuju akhirat. Bekal yang kita bawa itu biarlah yang tidak sia-sia kerana perjalanan akhirat itu adalah yang abadi.

Jadi, dalam beribadat dan melakukan setiap perkara, biarlah ia dilakukan kerana diri kita sendiri dan untuk Allah, bukan semata-mata kepentingan duniawi.

Wallahu a’alam.

The post Bagaimana Menjadikan Amal Ibadat Anda Tidak Sia-Sia first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.