“Apa Yang Aku Baca Dalam Doa Selepas Solat Tadi?”
“Sejauh mana aku benar-benar menghayati apa yang aku minta dalam doa?”
Sesekali soalan sebegini akan timbul di benak saya. Kerana kerap kali jua mulut meminta dalam keadaan hati tidak benar-benar merasa. Kadang-kadang doa disebut dan kemudian tangan diraup ke muka. Tetapi setelah itu hati berteka-teka, “Apa yang aku baca tadi?”
Kekhusyukan Adalah Syarat Sah Berdoa
Kali ini saya tidak mahu menyentuh tentang adab berdoa yang memang jelas banyak kalau disenaraikan. Tetapi hanya satu perkara iaitu kekhusyukan tatkala berdoa. Ia boleh diibaratkan seperti ‘syarat sah’ dalam berdoa kerana Allah sendiri mengingatkan bahawa doa daripada hati yang lalai dan alpa tidak akan dimakbulkan.
Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
ادْعُوا اللَّهَ وَأَنْتُمْ مُوقِنُونَ بِالإِجَابَةِ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ لاَ يَسْتَجِيبُ دُعَاءً مِنْ قَلْبٍ غَافِلٍ لاَهٍ
Maksudnya: “Berdoalah kepada Allah dalam keadaan kamu yakin bahawa ianya akan dimustajabkan. Dan ketahuilah kamu bahawa Allah SWT tidak akan memustajabkan doa yang datang daripada hati yang lalai lagi alpa.” (Riwayat al-Tirmizi, no.3479)
Jika dalam ibadah lain, kita begitu rapi menjaga syarat sahnya. Contoh terdekat adalah solat. Kita solat menutup aurat, memastikan kiblat betul, pakaian pula bersih daripada najis dan lain-lain. Manakala jika puasa pula, kita menjauhkan diri daripada hal yang dapat membatalkan puasa. Mengapa?
Kerana ajaran tentang sah dan batal bagi ibadah-ibadah ini telah kita pelajari sejak kecil. Kita sentiasa diingatkan supaya menjaga syarat-syarat supaya ibadah tidak batal dan jadi sia-sia. Tambahan pula, ia adalah ibadah yang wajib.
Doa Adalah Cara Kita Berkomunikasi Dengan Allah
Namun doa juga tidak kurang pentingnya. Doalah penghubung antara seorang hamba dengan Tuhannya. Bukan kerana Allah tidak tahu apa yang kita mahu. Tetapi kerana doa adalah jalan ‘komunikasi’ kita dengan Allah.
وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ
Maksudnya: “Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu, nescaya Aku perkenankan doa (permohonan) kamu.” (Surah Al-Ghafir 40:60)
Bayangkan jika seseorang itu langsung tidak berkomunikasi dengan orang terdekat dengannya? Pasti interaksi tidak berlaku dan hati tidak terasa dekat. Dan tidakkah sama dengan orang yang berdoa kepada Allah dalam keadaan tidak tahu pun apa yang diucapkan? Seolah-olah dia juga tidak berdoa dan tidak meminta apa-apa.
Dan orang yang tidak berdoa seolah-olah dia tidak memerlukan Allah. Nauzubilahi min zalik. Semoga kita dijauhkan daripada sikap sebegini.
Justeru, ambil lah masa sejenak untuk bertenang ketika berdoa. Berdoalah dalam keadaan sedar dan tahu apa yang diucapkan. Mintalah bersungguh-sungguh apa yang diingini oleh hati. Kekhusyukan akan datang jika kita benar-benar ingin merasainya.
The post "Apa Yang Aku Baca Dalam Doa Selepas Solat Tadi?" first appeared on Tazkirah.
No comments: