Antara Syarat Sah Solat Adalah Membaca Al-Fatihah Di Mulut
Surah Al-Fatihah merupakan surah yang dikatakan mempunyai seluruh ilmu dari Al-Quran, iaitu tauhid, ibadah, nasihat dan ia terbahagi kepada dua bahagian, iaitu bahagian untuk Allah dan untuk hambaNya.
Ia digelar sebagai fatihatul kitab kerana sering digunakan sebagai pembuka dan digunakan juga dalam setiap rakaat solat.
Ia merupakan antara rukun solat yang perlu dibaca dan jika tidak dibaca atau bacaannya tidak betul, maka tidaklah sah solatnya.
Maksud: “Dari Ubadah, dia berkata bahawa Rasulullah SAW menunaikan solat Subuh dan memberati padanya bacaan. Maka, tatkala selesai solat, Baginda berkata: “Aku perhatikan kamu membaca.” Ubadah berkata: “Ya, aku membaca.” Lalu Baginda bersabda: “Jangan kamu lakukan itu, kecuali dengan ummul-Quran. Kerana sesungguhnya, tidak sah solat bagi barangsiapa yang tidak membacanya.” (Hadis Riwayat Abu Daud dan Tirmil)
Disebabkan itu, kita dinasihatkan untuk sentiasa memperbaiki bacaan Al-Fatihah kerana ia juga merupakan kunci ke arah kesempurnaan solat.
Sering kita dengar bacaan Al-fatihah hendaklah dibaca secara lisan di dalam solat. Ertinya, kita hendaklah menyebutnya satu persatu agar didengari oleh telinga kita sendiri.
Namun, adakah dibolehkan untuk membaca Al-Fatihah di dalam hati sahaja?
Dalam hal ini, kita perlu melihat bahawa bacaan Al-Fatihah adalah termasuk di dalam rukun qauli, iaitu ucapan dan perkataan. Maka, jika ia ditinggalkan, solat yang dilakukan adalah tidak sah.
Imam Syafi’e berkata – “Tidak sah bagi seorang lelaki yang mengangkat takbiratul ihram untuk solat melalui hatinya dan tidak sah pula dia membaca (al-Fatihah) melalui hatinya sehingga dia menggerakkan lidahnya.” (Mukhtasar al-Buwaitimi, hal. 244)
Justeru, dalam hal ini, jumhur ulama berpendapat bahawa tidak sah solat jika ia dibaca di dalam hati. Ia perlu dibaca dengan jelas melalui lidah dan didengar oleh kita sendiri tetapi jangan sehingga mengganggu makmum sebelah.
Wallahu a’alam.
Baca Juga:
Tafsir Surah Al-Fatihah
Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan
The post Antara Syarat Sah Solat Adalah Membaca Al-Fatihah Di Mulut first appeared on Tazkirah.
No comments: