Ads Top

Ajar Anak Anda Tentang Sentuhan Baik Dan Tidak Dengan 5 Cara Ini

Baru-baru ini kembali tular di laman sosial mengeai kisah yang sudah agak lama senyap pada perkiraan saya, namun ia kembali menjadi perhatian netizen, iaitu kisah seorang bapa yang meliawat anaknya di Mekah.

Seorang bapa yang berusia 36 tahun itu telah dijatuhi hukuman penjara selama 48 tahun dan 24 kali sebatan atas dakwaan 623 pertuduhan rogol, liwat dan sumbang mahram.

Kejadian ini dikatakan telah dibicarakan pada 2017 dan ia sebenarnya telah pertama kali terjadi pada April 2015, ketika mangsa berusia 13 tahun.

Apabila dilihat pada kes tersebut, banyak sangat perkara yang cukup tragis yang berlaku ke atas mangsa sehingga saya rasa apabila kita membaca kesnya, pasti tidak dapat terbayang betapa ngerinya kejadian itu kepada mangsa bukan sahaja dari segi fizikal, namun emosinya.

Sebagai Pengajaran Buat Semua

Ia bukanlah sebuah sesi throwback yang sengaja dilakukan. Namun, pada saya ini ialah peluang yang boleh diambil untuk kita sentiasa beringat bahawa anak-anak kecil ialah insan yang perlu sentiasa dijaga dan diberi perhatian.

Ia bukanlah pengajaran untuk ibu bapa sahaja, namun untuk semua orang. Ibu bapa, jiran, orang sekeliling malah diri anak-anak itu juga ada tanggungjawab yang perlu digalas.

Sebab itu, ibu bapa atau penjaga memainkan peranan dalam memberi pendidikan kepada mereka.

Ajar mereka tentang sentuhan yang selamat dan tidak, didik mereka tentang apa yang perlu dilakukan apabila ada orang menyentuh di kawasan yang tidak sepatutnya serta pelbagai lagi ilmu yang perlu diserapkan.

Dan anda sebagai orang yang telah dewasa sendiri tidak boleh sewenang-wenangnya melakukan perbuatan yang tidak elok di hadapan mereka walaupun dengan pasangan anda sendiri.

Jadi, ini ialah beberapa perkara yang perlu dititikberatkan oleh kita yang telah dewasa, terutamanya ibu bapa untuk membantu memberi pendidikan kepada anak-anak bagi menangani masalah ini.

#1 – Berbincang Dan Ajar Mereka

Dari masa ke masa, ajar mereka tentang sentuhan baik dan tidak baik. Bagi mereka faham sepenuhnya tentang perkara tersebut.

Dalam masa yang sama, jika mereka bertanya kepada anda atau cuba bercerita tentang perkara itu, jangan hiraukan mereka. Cuba untuk jadi pendengar yang baik dan faham akan bahasa badan yang mereka bawakan.

#2 – Jangan Memaksa Mereka Bermesra

Jika anda mempunyai anak saudara atau kenalan anda, jangan dipaksa mereka bermesra dengan anda jika dilihat mereka kurang selesa.

Ada kanak-kanak yang diajar untuk tidak mudah bergaul dengan orang yang kurang rapat. Walaupun mereka adalah anak saudara anda sendiri. Bagi mereka ruang untuk kenal anda terlebih dahulu dan caranya adalah bukan dengan paksaan.

Ia adalah dibimbangi jika boleh memberi ketakutan kepada diri mereka.

#3 – Ajar Mereka Bahasa Lisan

Beritahu anak-anak anda tentang bahasa yang perlu digunakan terutamanya jika diganggu oleh orang yang tidak dikenali. Jeritan dan kata ‘tidak’ adalah sesuatu yang sangat penting.

Dalam masa yang sama, pastikan anak-anak anda selesa untuk meluahkan. Ajar mereka untuk sentiasa berkongsi dengan anda terutamanya jika terjadinya perkara-perkara yang tidak diingini.

Sesetengah kanak-kanak ada masalah untuk mengenal pasti atau memberitahu emosi mereka. Jadi, pelajaran tentang bahasa lisan sangatlah penting. Komunikasi itu adalah kunci.

#4 – Mainkan Latihan Peranan

Didikan bukan sekadar pada tunjuk melalui teori semata-mata, namun ia juga melibatkan praktikal.

Praktikkan apa yang diajar. Sekali-sekala libatkan latihan dan uji mereka dengan pengetahuan yang telah diberi.

#5 – Letakkan Kepercayaan Kepada Mereka

Sesetengah kes yang berlaku, sebenarnya anak-anak sudah berusaha menyampaikannya kepada orang tua mereka, namun disebabkan tiada kepercayaan atau ada segelintir ibu bapa yang memandang ringan akan perkara tersebut dengan menganggap tiada apa yang serius pun, kesnya cenderung menjadi lagi besar.

Seharusnya, apabila anak-anak cuba untuk meluahkan sesuatu, anda perlu tunjukkan kepercayaan kepada mereka. Sama ada ia adalah betul atau tidak, itu perkara kedua.

Jika anak-anak telah mendapat kepercayaan anda, mereka akan rasa lebih selamat dan dihargai kerana ada seseorang yang melindunginya.

Kesimpulan

Isu penderaan kanak-kanak, pencabulan, rogol, liwat dan seksual banyak terjadi. Bezanya adalah antara kita sedar atau tidak dengan keadaan sekeliling.

Jadi, kali ini cuba letakkan sifat kemanusiaan dan peka terhadap sekeliling dengan mengambil tahu akan keadaan anak-anak anda.

Mainkan peranan anda untuk sama-sama membantu menangani masalah ini.

Baca Juga:
Ajar Anak Anda Tentang Sentuhan Selamat Dan Tidak

Rujukan:
Myhealth.gov.my

The post Ajar Anak Anda Tentang Sentuhan Baik Dan Tidak Dengan 5 Cara Ini first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.