Ads Top

5 Sifat Yang Perlu Ada Dalam Diri Sebagai Panduan Meraih Reda Allah

Manusia itu datangnya dari syurga dan akan dikembalikan ke syurga.

Mungkin anda pernah mendengar ungkapan di atas. Asal manusia itu adalah dari Nabi Adam dan Hawa yang diciptakan di syurga.

Namun, betulkah semuanya akan dikembalikan ke syurga? Itu adalah rahsia Allah yang kita perlu usahakan untuk menjadikan syurga sebagai kediaman abadi kita kelak.

Pilihan kita nanti hanya ada syurga dan neraka, jika kita ingin kembali kepada syurga, diri dan hati kita perlu dibentuk dengan cara yang terbaik sesuai dengan apa yang Allah reda.

Syurga itu luas, setiap orang mempunyai peluang yang besar untuk masuk syurga. Jangan cemburu apabila melihat ada orang yang diberi kelebihan untuk melakukan perkara baik, sebaliknya anda pun boleh berbuat amalan yang diredai Allah berdasarkan kemampuan anda sendiri.

“Untunglah dia kan kaya, bolehlah nak menderma harta kepada anak yatim setiap bulan. Tak luak pun hartanya.”

“Dia memang dah dilahirkan dalam keluarga yang alim, sebab itu dia boleh jadi baik.”

Dan pelbagai lagi perkara yang bermain di fikiran anda sedangkan hasutan-hasutan kecil itu sebenarnya jika dilihat dari sudut positif, ia boleh membantu anda menambahkan semangat dalam diri untuk jadi lebih baik.

Jadi, kali ini kita akan melihat beberapa sifat yang boleh dijadikan panduan untuk anda meraih reda Allah yang telah diterangkan oleh Syeikh Muhammad bin Shalih al-Utsaiminin;

#1 – Al-Muttaqin (Orang Yang Bertakwa)

Bertakwa ialah takut kepada Allah dengan mentaati perintahNya dan meninggalkan laranganNya.

Kenapa perlu bertakwa? Kerana takwa merupakan salah satu azimat untuk kita terus meletakkan Allah sebagai matlamat.

Apabila dalam hati ada Allah, kita akan lebih bersemangat untuk melakukan sesuatu perkara dalam masa yang sama dapat membantu menghindari diri kita daripada perkara-perkara yang dilarang.

#2 – Menginfakkan Harta Ke Jalan Allah

Menggunakan harta yang ada ke jalan Allah bukanlah bermaksud anda hanya perlu fokus kepada amalan sedekah atau menderma sahaja, namun banyak lagi perkara lain yang boleh dilakukan, asalkan ia adalah ke arah jalan yang diredai Allah.

Berniat untuk menyambung pelajaran sehingga ke peringkat yang lebih tinggi dengan tujuan untuk menjadi pendidik yang boleh mendidik generasi muda, juga merupakan amalan untuk melaburkan harta anda ke jalan Allah.

Belanja ahli keluarga anda makan hasil daripada gaji bulanan anda juga merupakan salah satu perbuatan yang boleh menambah keredaan Allah.

Apa jua perbuatan yang boleh mendekatkan diri kepada Allah, maka itu dikira sebagai infak (sumbang) harta anda kepadaNya.

Harta itu bukanlah wang ringgit semata-sama, namun apa yang ada pada diri anda seperti kualiti diri, kemahiran dan sebagainya, jika disalurkan ke arah yang baik, maka ia akan menjadi harta buat anda di akhirat kelak.

#3 – Yang Menahan Kemarahan

Apabila marah, rata-rata orang cenderung mengikut emosi dan pada waktu ini sukar untuk berfikir atau membuat keputusan secara rasional.

Sebab itu, Allah menyuruh kita untuk dia apabila marah. Jika sedang berdiri, maka duduklah. Tukar posisi anda dan jangan terikut dengan nafsu amarah anda secara melulu.

Maksud: “Dari Abu Hurairah RA, seorang lelaki berkata kepada Nabi SAW; “Berilah aku wasiat.” Baginda menjawab; “Jangan marah.” Lelaki itu mengulang-ulang permintaannya. Baginda SAW menjawab: “Janganlah engkau marah.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 6116)

#4 – Yang Memberi Kemaafan

Tiada manusia yang sempurna dan tidak terlepas daripada persengketaan sama ada yang kecil mahupun yang besar.

Namun, apabila berada dalam situasi itu, jangan berdendam atau marah terlalu lama. Memaafkan adalah lebih baik.

Walau ia sukar, tidak semudah kita mengungkapkan perkataan itu, namun latihlah diri anda ke arah itu.

Yang paling penting, memaafkan itu bukan sekadar di mulut namun juga di hati. Kerana hati yang sudah betul-betul memaafkan akan hadir perasaan tenang padanya kelak.

Mafhum: “Dalam pada itu, sesiapa yang memaafkan (kejahatan orang) dan berbuat baik (kepadanya), maka pahalanya tetap dijamin oleh allah (dengan diberi balasan yang sebaik-baiknya). Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berlaku zalim.” (Surah Asy-Syura, 42:40)

#5 – Orang Yang Bertaubat

Apabila buat dosa, jangan segan untuk bertaubat kepada Allah kerana pintu taubat dibuka sentiasa, seluas langit dan bumi.

Tiada istilah terlambat atau dosa yang terlalu banyak sehingga anda takut dan malu memohon ampun kepada Allah.

Sebaliknya, malulah apabila anda terus-menerus melakukan dosa tanpa rasa takut kepadaNya kerana pengakhiran nanti, Allah juga yang akan kita tuju.

Kesimpulan

Setiap permulaan pasti ada pengakhiran. Manusia yang hidup juga pasti akan merasai mati.

Dan kematian itu adalah permulaan kepada sebuah perjalanan baru untuk menempuh alam akhirat.

Jadi, sementara masih hidup, berusahalah dengan menambah sifat-sifat terbaik ke dalam diri anda dengan melakukan perkara yang diredai Allah.

Jadikan 5 sifat di atas sebagai panduan untuk anda menjadi manusia yang sentiasa diberkati perjalanan olehNya.

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Syeikh Mohammad Shalih Al-Utsaimin

The post 5 Sifat Yang Perlu Ada Dalam Diri Sebagai Panduan Meraih Reda Allah first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.