Ads Top

4 Cara Untuk Menerapkan Sabar Ketika Diuji

Banyak perkara yang berlaku dalam kehidupan kita sehari-hari. Ada hari yang kita boleh tersenyum gembira dan bersorak dengan pencapaian yang diperoleh.

Namun, kegembiraan itu sekelip mata boleh diganti dengan kesedihan dan musibah yang Allah timpakan. Ia adalah ujian yang Allah akan sentiasa hadirkan dalam diri setiap manusia kerana itu adalah fitrah manusia yang perlu dilalui.

Apa yang paling penting ialah kita perlu bersabar dan setiasa pandang ke hadapan. Bagaimana untuk bersabar?

Ada beberapa cara yang boleh dilakukan untuk menerapkan sabar dalam diri, iaitu;

#1 – Yakin Pilihan Allah Adalah Yang Terbaik

Allah sentiasa memberi yang terbaik buat hambaNya. Disebabkan itu, Allah tidak pernah memberati hambaNya dengan ujian yang tidak mampu ditanggung.

Dari Shuhaib, ia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda;

Maksud: “Sungguh menakjubkan keadaan seorang mukmin. Seluruh urusannya baik. Ia tidaklah didapati kecuali pada seorang mukmin. Jika mendapatkan kesenangan, maka ia bersyukur. Itu baik baginya. Jika mendapat kesusahan, maka ia bersabar.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 2999)

#2 – Musibah Itu Menghapuskan Dosa

Salah satu sebab Allah menurunkan ujian kepada hambaNya adalah untuk menghapuskan dosa.

Apabila kita ditimpa ujian dan kita bersabar dengannya, maka Allah akan memberikan ganjaran pahala serta menghapuskan dosa yang ada.

Dari Abu Hurairah RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda;

Maksud: “Ujian akan selalu bersama dengan orang beriman, lelaki mahupun perempuan baik pada dalam diri, anak dan hartanya, sampai dia bertemu dengan Allah dalam keadaan tidak mempunyai satu kesalahan pun.” (Hadis Riwayat Tirmizi, no. 2399)

#3 – Melihat Kepada Kesusahan Orang Lain

Apabila kita hanya fokus kepada diri sendiri, pandangan kita tidak akan meluas kepada sekeliling.

Disebabkan itu, kita sentiasa merasakan bahawa ujian yang Allah berikan itu adalah yang paling berat untuk diri kita sehingga kadang-kadang kita akan menyalahkanNya kerana terus-menerus menurunkan ujian.

Sedangkan, bukan kita sahaja dalam dunia ini yang ditimpa ujian. Setiap insan ada ujian dan dugaannya tersendiri sesuai dengan kemampuannya.

Ada orang yang diuji dengan kesusahan yang paling susah dari kita dan ia adalah kerana dia mampu menghadapinya.

Begitu juga dengan kita. Jadi, apabila lemah ketika diuji, lihatlah juga orang yang di bawah, nescaya hati anda akan belajar untuk bersyukur.

#4 – Ingat Balasannya Yang Sangat Besar

Dari Abu Sa’id al-Khudri RA, Baginda SAW bersabda;

Maksud: “Sesungguhnya Allah berkata kepada penghuni surga: “Wahai penghuni surga.” Mereka berkata: “Kami memenuhi panggilanMu, kami mentaatiMu.” Allah berfirman: “Apakah kalian reda (puas)?” Mereka menjawab: “Kenapa kami tidak reda (puas) sementara Engkau telah memberikan kepada kami apa yang tidak Engkau berikan kepada seorang pun dari ciptaanMu.” Maka Allah berfirman: “Mahukah Aku berikan kepada kalian yang lebih baik dari ini?” Mereka berkata: “Adakah yang lebih baik dari ini?” Allah berfirman: “Aku telah menurunkan kepada kalian keredaanKu, maka Aku tidak akan marah kepada kalian setelah ini selama-lamanya.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 6549)

Kesimpulan

Sabar itu banyak ganjarannya. Tetapi untuk melakukannya memerlukan bantuan dari dalam diri anda sendiri sebab hanya pemikiran anda yang menentukan tahap kesabaran itu.

Wallahu a’alam.

The post 4 Cara Untuk Menerapkan Sabar Ketika Diuji first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.