Ads Top

Teladani Kisah Baginda SAW Dan Arab Badwi – Tidak Terus Menghukum

Ada banyak cara dakwah yang boleh diamalkan dalam usaha kita untuk menyebarkan agama Islam. Ada yang menyebarkannya melalui lisan, ada juga yang menyebarkannya melalui contoh teladan yang baik dan sebagainya.

Cara-cara ini adalah berdasarkan kemampuan dan keselesaan masing-masing. Mungkin ada yang tidak reti untuk berbicara di khalayak, jadi dia memilih untuk aktif di media sosial.

Walau bagaimanapun, apa yang paling penting ialah cara yang ditonjolkan perlulah sesuai dan tidak menyakiti mana-mana pihak sama ada yang beragama Islam atau tidak.

Dan, dalam masa kita menegur orang yang melakukan kesalahan, jangan kita anggap bahawa orang itu berbuat salah kerana sengaja.

Disebabkan itu wujudnya istilah menegur itu biarlah secara hikmah. Hikmah di sini adalah dengan bijaksana.

Ada sebuah kisah yang menunjukkan bagaimana cara Baginda SAW menunjukkan sifat lemah-lembutnya melalui teguran Baginda kepada seorang Arab Badwi yang telah membuang air kecil di salah satu bahagian halaman masjid.

Dari Anas bin Malik RA, Beliau berkata:

Maksud: “Seorang Arab Badwi pernah memasuki masjid, lantas dia kencing di salah satu sisi masjid. Lalu, para sahabat mengherdik orang ini. Namun, Baginda SAW melarang tindakan para sahabat tersebut. Tatkala orang tadi telah menyelesaikan hajatnya, Nabi SAW lantas memerintahkan para sahabat untuk mengambil air kemudian bekas kencing tadi disirami.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 221)

Berhemah Dalam Menegur

Melalui kisah ini, ada banyak perkara yang dapat difahami dan boleh dipelajari, bermula daripada najisnya kencing sehinggalah kepada cara yang betul untuk menegur manusia.

Melalui jumhur ulama, diceritakan bahawa Arab Badwi ini tidak mengetahui akan larangan masjid yang tidak dibolehkan membuang najis di merata-rata.

Jika kita lihat perbuatan Baginda SAW yang terus menyuruh sahabat untuk membersihkan tempat itu dan tidak terus menghukum perbuatan tersebut dengan mengherdik serta memarahinya.

Hal ini sudah mampu menunjukkan dua perkara; dalam berdakwah kita perlulah menggunakan yang berhemah dan tidak menghukum sesuka hati sebelum mengetahui cerita yang sebenarnya.

Bahayanya apabila diri kita mempunyai ilmu ialah kita merasakan bahawa kita ada sifat lebih tahu daripada orang lain dan ia cenderung untuk menganggap bahawa orang lain lebih rendah daripada anda.

Perkara inilah yang perlu dielakkan. Dalam berilmu, ikutlah seperti resmi padi; semakin berisi semakin menunduk.

Disebabkan itu, sebelum kita menghukum, kita perlu letakkan diri kita di tempatnya. Mengapa dia berbuat demikian; adakah kerana tidak tahu atau kerana disengajakan?

Kesimpulan

Kita melihat akhlak Baginda SAW ini cukup unik untuk dijadikan sebagai teladan. Berhemah dalam menegur agar ia tidak menyakitkan hati orang lain.

Dalam masa yang sama, jangan segera menghukum tapi cuba selami dulu mengapa ia terjadi agar Islam itu dapat dibawa dengan lebih baik lagi oleh kita dan tidak disalahertikan.

Wallahu a’alam

Sumber:
Rumaysho.com




No comments:

Powered by Blogger.