Sudah Bertaubat Tetapi Hati Masih Lagi Merasa Gelisah?
Dah bertaubat, tetapi hati masih lagi merasa gelisah. Sudah beristighfar, tetapi hati masih lagi risau dengan dosa yang dilakukan. Mengapa perasaan tidak tenang itu masih lagi wujud dan dosa-dosa lama masih lagi menghantui diri?
Sabar dulu, jangan terus menyakiti perasaan sendiri dengan fikiran-fikiran negatif atau cuba untuk kembali ke maksiat yang dulu hanya disebabkan tidak menjumpai ketenangan.
Orang yang gelisah dan sering tertanya – “Adakah dosa aku sudah diampunkan?” atau “layakkah aku untuk masuk syurga sebab banyaknya dosa yang dilakukan?”, itu semua adalah petanda bahawa hati anda sudah selangkah meninggalkan maksiat.
Mengapa begitu? Kerana hanya orang yang sedar dan ingin bertaubat sahaja akan merasa gelisah dan tertanya-tanya apakah status taubatnya diterima.
Berbeza dengan orang yang masih lagi belum terjentik hati untuk bertaubat, pasti kehidupannya itu masih dihiasi dengan kelalaian dunia dan tidak merasa apa-apa saat melakukan maksiat.
Biasanya orang yang terdetik hati untuk bertaubat atau baru sahaja menangisi dosa-dosanya, pasti hatinya akan tertanya-tanya soalan yang demikian.
Lama-kelamaan perasaan tersebut akan diganti dengan ketakutan untuk melakukan maksiat. Itulah yang akan menghalang kita untuk kembali ke kehidupan yang lama.
Walaupun ujian itu akan datang lagi semasa kita dalam proses untuk bertaubat dan menjadi manusia yang lebih baik dari semalam, ia adalah ujian untuk meningkatkan lagi keimanan kita.
Apabila dilanda ujian tersebut, teruslah berdoa agar Allah sentiasa pegang hati anda untuk tetap berada di jalannya.
Ketenangan itu akan hadir dari masa ke masa. Ia tidak terus datang selepas anda kali pertama melakukan solat taubat. Mungkin akan ada sedikit perasaan lega kerana anda telah melepaskan dan meluahkan semuanya kepada Allah.
Namun, untuk mendapat ketenangan yang hakiki itu memerlukan masa. Dan kuncinya ialah sabar serta teruslah berpaut pada tali Allah.
Wallahu a’alam.
No comments: