Ads Top

Hukum Cipta Lesung Pipit Buatan

Macam-macam cara yang dilakukan untuk kelihatan cantik pada masa sekarang. Ia berubah-ubah seiring dengan perubahan trend yang berlaku pada zaman tersebut. Kini timbul pula isu mencipta lesung pipit buatan.

Lesung pipit adalah lekukan kecil semulajadi yang ada pada bahagian pipi atau dagu. Ia sebenarnya adalah kecacatan otot yang menawan dan membuatkan wajah kelihatan lebih menarik.

Kini ada prosedur pembedahan yang dilakukan untuk mencipta lesung pipit yang dipanggil ‘dimpleplasty’ atau tindik untuk mencipta lesung pipit. Dan tidak pelik, ada individu yang tidak kesah melalui prosedur begini demi mencantikkan wajah.

Secara asasnya, Islam menetapkan bahawa hukum mengubah apa jua bahagian anggota badan tanpa keperluan adalah haram. Antara contoh yang jelas disebut haram dalam dalil hadis ialah mencukur kening, membuat tatu dan mengasah gigi untuk kelihatan cantik.

Nabi SAW bersabda:

لَعَنَ اللَّهُ الْوَاشِمَاتِ وَالْمُسْتَوْشِمَاتِ وَالنَّامِصَاتِ وَالْمُتَنَمِّصَاتِ وَالْمُتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ الْمُغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ

Maksudnya: “Allah melaknat orang yang membuat tatu dan yang meminta dibuat tatu, wanita-wanita yang mencukur alis (bulu kening) dan orang yang meminta mencukur kening dan orang yang mengasah gigi untuk kecantikan yang (semua itu) mengubah ciptaan Allah SWT”. (Riwayat Muslim, no. 2125)

Justeru dapat difahami perbuatan mencipta lesung pipit buatan walau dengan cara apa sekalipun adalah haram dalam Islam, baik orang yang melakukannya ataupun orang yang meminta untuk dilakukannya. Ia haram kerana bertujuan kecantikan dan bukan disebabkan situasi keperluan.

Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan




No comments:

Powered by Blogger.