Ads Top

Tinggal Puasa Dengan Sengaja – Bolehkah Membayar Fidyah Juga?

Fidyah ialah denda yang dikenakan ke atas orang yang meninggalkan puasa wajib atas sebab-sebab tertentu dan tidak dapat menggantinya atas alasan uzur syarie, menyusu, waris yang telah meninggal dunia, sakit, atau juga sengaja melewatkan puasa ganti bulan Ramadan.

Denda ini dikenakan dengan membayar satu kadar tertentu yang wajib dikeluarkan sebagai suatu pemberian sebahagian daripada harta (makanan) kepada fakir miskin.

Fidyah ini wajib disempurnakan mengikut bilangan hari yang ditinggalkan dan menjadi tanggungjawab (hutang) sekiranya tidak dapat dilaksanakan.

Adapun, kita mengetahui bahawa hukum pembayaran fidyah adalah disebabkan seseorang itu tidak mampu berpuasa atau terlewat menggantikan puasa sehingga Ramadan yang seterusnya.

Jadi, adakah kaedah ini juga boleh dilakukan oleh mereka yang meninggalkan puasa dengan sengaja? Kita mengetahui hukum meninggalkan puasa dengan sengaja tanpa alasan yang kukuh adalah berdosa.

Namun, adakah mereka boleh membayar fidyah kerana terlepas menggantikan puasa yang ditinggalkan itu sehingga Ramadan yang seterusnya?

Dalam hal ini, jumhur ulama menyebut bahawa, puasa yang ditinggalkan itu wajib diqada sama ada tertinggal secara sengaja atau tidak.

Justeru, buat mereka yang secara sengaja meninggalkannya, wajib mengqada puasa tersebut. Namun, jika sudah sampai kepada Ramadan seterusnya sehingga terlepas beberapa tahun, maka mereka boleh membuat bayaran fidyah bagi menggantikan hari yang tertinggal.

Hukumnya adalah wajib dengan memberi makan golongan fakir. Ibnu Umar dan Abu Hurairah RA berkata:

فيمَنْ عليهِ صومٌ فَلم يَصُمْهُ حتّى أدركهُ رمضانُ آخَرُ، يُطعِمُ عنِ الأوَّلِ

Maksud: “Sesiapa yang ada puasa ganti, tetapi dia tidak menggantikannya lagi sehinggalah tiba bulan Ramadan yang berikutnya, hendaklah dia memberi makan (fidyah) bagi yang awal (Ramadan yang lepas).” (Al-Majmu’, 6/363)

Prosedur Bayaran Fidyah

Bayaran fidyah ini boleh dilakukan di Majlis Agama Islam Negeri atau dilakukan secara atas talian seperti Majlis Agama Islam Selangor (MAIS)

Cara kiraannya ialah dengan melihat kepada bilangan hari yang ditinggalkan dan menggandakan dengan tahun yang tertinggal (jika ada) serta digandakan dengan satu cupak. Contohnya:

RM4.00 (secupak beras) x 3 hari puasa yang ditinggalkan x 3 kali Ramadhan yang terlepas = RM36.00
Maka, jumlah cupak beras yang perlu dibayar ialah RM36 kepada fakir miskin.

Bayaran fidyah boleh juga dilebihkan sedikit.

Kesimpulan

Bayaran fidyah itu merupakan hutang dengan Allah. Maka, wajib untuk membayarnya walaupun anda meninggalkan puasa dengan sengaja.

Ia adalah salah satu peluang yang Allah berikan kepada anda untuk bertaubat.

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Mufti Wilayah




No comments:

Powered by Blogger.