Status Hadis – Maksud Syurga Di Bawah Tapak Kaki Ibu
Baru-baru ini tular di media sosial berkenaan satu babak dalam siri animasi Upin ipin di mana semua netizen telah menghamburkan kecaman yang sangat teruk kepada watak Fizi.
Walaupun ia dilihat sebagai salah satu senda-gurau di antara netizen terhadap drama animasi ini, namun ia boleh dipandang serius apabila melibatkan hati anak-anak yatim yang sudah tiada orang tua.
Watak Fizi yang menyebut – “Kalau tak ada ibu, jadi tak adalah syurga.” Ia disebut bagi menjawab kepada penyataan yang telah dikeluarkan oleh Mail yang menyebut bahawa syurga itu di bawah tapak kaki ibu.
Entri kali ini bukan untuk menyebut mengenai babak kecaman tersebut, namun untuk melihat benarkah kenyataan yang sering kita dengar itu, iaitu ‘syurga di bawah tapak kaki ibu.’
Rata-rata dalam kalangan kita yang beranggapan bahawa ia merupakan hadis yang dijadikan bukti bahawa taraf ibu itu sangat tinggi sehinggakan untuk memasuki syurgaNya juga perlu mendapatkan keredaan dari Allah.
Hadis yang diriwayatkan dari Anas bin Malik RA bahawa Nabi SAW telah bersabda – “Syurga ada di bawah telapak kaki ibu.”
Hadis ini telah dikeluarkan oleh Imam Abu asy-Syaikh al-Ashbahani RA dalam Thabaqatul Muhadditsina bi-Ashbahan (3/586), al-Qudha-i melalui Musnad asy-Syihab (1/102) dan ad-Daulabi dalam al-Kuna wal Asma’ (no. 1440) dengan sanad mereka semua dari Manshur bin al-Muhajir dari Abu an-Nadhr al-abbar, dari Anas bin Malik RA.
Hadis ini dinukilkan lemah kerana terdapat perawi yang tidak dikenali, iaitu Mashur bin al-Muhajir dan Abu an-Nadhr al-Abbar.
Hal ini dipersetujui oleh jumhur ulama seperti Imam Ibnu Tharir RA, Imam al-Munawi dan Syeikh al-Albani.
Walau bagaimanapun, terdapat sebuah peristiwa yang disebut dalam periwayatan mengenai Muawiyah dan ia adalah sebuah kisah yang sahih. Antaranya ialah dalam riwayat Ibnu Majah, Imam an-Nasai, Imam Ahmad, Imam at-Thabarani dan disahihkan oleh Imam al-Hakim yang disepakati oleh Imam adz-Dzahabi.
Maksud: “Bahawasanya ia (Muawiyah bin Jahimah) datang kepada Nabi SAW, lalu ia berkata: “Wahai Rasulullah, aku ingin berperang dan aku datang untuk meminta petunjukmu.” Nabi SAW bersabda; “Apakah engkau memiliki ibu?” Maka, dia menjawab ya. Dan Baginda SAW bersabda: “Beradalah dengannya kerana sesungguhnya syurga di bawah kedua kakinya.” (Hadis Riwayat An-Nasai, no. 3104)
Hal ini menunjukkan bahawa, dalil berkenaan syurga di bawah tapak kaki itu adalah sahih dengan membawa makna, keredaan seseorang itu bergantung kepada redanya ibu bapanya.
Maka, apabila ibunya reda akan dia, urusan untuk ke syurga akan dipermudahkan, dengan izin Allah.
Namun, apabila ingin menjadikan ia sebagai dalil, kita perlu menunjukkan dalil yang benar bagi mengelakkan kekeliruan dalam menyampaikan sesuatu.
Wallahu a’alam.
Sumber:
Konsultasi Syariah
No comments: