Ads Top

Hukum Menjual Barang Tiruan/AAA

Barang ‘copy ori’ atau ‘Grade AAA’ bukan istilah yang baru dalam dunia perniagaan. Sebahagian orang memanggilnya barang ciplak, tiruan dan palsu. Hal ini kerana penghasilannya ditiru daripada barang original yang mempunyai jenama besar dan dikenali namun dijual dengan harga yang jauh lebih murah.

Menurut penjelasan yang ada dikongsikan oleh pengguna media sosial, terdapat beberapa pembahagian gred bagi barangan ‘copy ori’ iaitu barangan yang paling murah dan memiliki kualiti paling rendah, barangan dengan kualiti lebih baik dengan harga mampu milik, gred kualiti pertengahan dan terakhir adalah gred paling mahal dengan peniruan yang hampir 100 peratus sama.

Apa pun pembahagiannya, ia tetap barang ciplak yang ditiru dan mengguna pakai jenama orang lain. Justeru, apakah hukum bagi penjual dan juga orang yang membelinya?

Menurut penjelasan Prof Madya Dr Abdul Manan Ismail, seorang Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di Jabatan Fakulti Syariah dan Undang-undang mengulas bahawa isu hak cipta dan hak milik jenama disebut sebagai ‘Al-ism At-Tijari’ dalam Islam.

Apabila sesuatu jenama tersebut dipatenkan, pemilik jenama atau syarikat mempunyai hak untuk mempertahankan nama perniagaannya. Ia tidak boleh sewenang-wenangnya ditiru oleh sesiapa sahaja.

Hal ini kerana, mereka telah memperuntukkan sejumlah wang untuk mempromosikan nama produk mereka. Oleh itu, tindakan menjual barangan tiruan dengan menggunakan jenama produk tersebut jelas merupakan suatu kezaliman kepada pemilik.

Majma’ Al-Fiqh al-Islami (Kesatuan Fiqh Sedunia) telah menetapkan bahawa setiap syarikat mempunyai hak terhadap nama perniagaannya kerana dia boleh mendapatkan manfaat daripada harta miliknya.

Orang yang menjual barang tiruan telah mengambil manfaat daripada nama jenama tersebut sekalipun kualiti tidak sama. Hal ini boleh menyebabkan nama produk tersebut jatuh.

Isu ini bukan hanya melibatkan penjual sahaja tetapi termasuk juga pembeli. Kedua-duanya telah berlaku zalim terhadap pemilik jenama walau dengan apa jua alasan, sekalipun untung yang diambil sedikit berbanding untung yang dibuat oleh jenama besar tersebut. Tidak boleh juga menjual barangan tiruan sekalipun ia telah dimaklumkan kepada pembeli.

Menurut pihak Mufti Wilayah Persekutuan, hukum membeli, menjual barangan tiruan, membuat salinan atau mencetak semula secara tidak sah barangan yang telah dipatenkan hukumnya adalah haram.

Individu yang menjual barang tersebut boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 oleh Bahagian Penguat Kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK).

Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan
Kapsul BHTV Jom Tanya Ustaz (Berita Harian Online)




No comments:

Powered by Blogger.