Bagaimana Mahu Bersangka Baik Dengan Allah
Melalui sebuah sesi temuduga kerja, calon telah ditanya oleh penemuduga sebuah soalan yang benar-benar diluar kotak pemikirannya. Dia tidak sama sekali menyangka soalan tersebut akan diajukan oleh penemuduga.
“Apakah nasihat yang akan anda berikan kepada insan yang kelainan upaya (OKU) sejak lahir agar beliau menerima keadaan fizikal dan ketentuan Allah terhadapnya?”
Calon tersebut kemudian menjawab – “Sentiasa bersangka baik dengan Allah.”
Penemuduga tersebut hanya mengangguk dan membalas dengan senyuman.
Benar, hidup ini banyak mehnah dan tribulasi. Hari ini kita diuji dengan wabak covid19 dan kesannya dirasai hampir seluruh dunia. Kejatuhan harga minyak, kemerosotan ekonomi, hilang mata pencarian, hilang kebebasan, dipaksa berkurung di rumah dan banyak lagi yang tidak pernah kita fikir akan berlaku, kini dilalui oleh kita sendiri.
Kita disajikan media dengan kisah sedih, penderitaan, kesusahan serta kehilangan insan tersayang lantaran ujian besar yang Allah turunkan. Namun sebagai mukmin yang beriman kepada Allah, pastikan pegangan akidah kita masih lagi dalam kepercayaan kepadaNya dan bersangka baik dengan Allah Rabbul Alamin.
مَا أَصَابَ مِن مُّصِيبَةٍ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي أَنفُسِكُمْ إِلَّا فِي كِتَابٍ مِّن قَبْلِ أَن نَّبْرَأَهَا ۚ إِنَّ ذَٰلِكَ عَلَى اللَّـهِ يَسِيرٌ
Mafhum: “Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.” (Surah Al-Hadid, 57:22)
Kisah Raja dan Doktor
Suatu hari, Sang Raja pergi memburu dan membawa seorang Doktor Diraja bersamanya. Tanpa diduga, ketika berburu jari Sang Raja terluka dan berdarah akibat terkena duri. Doktor tersebut menasihati Sang Raja agar terus pulang ke istana bagi menerima rawatan yang sebaiknya.
Setibanya di istana, jari baginda sudah mula bernanah. Doktor tersebut menyarankan agar jarinya dipotong sebelum terkena jangkitan. Bagaimana reaksi si raja apabila mendengar saranan tersebut. Pastinya baginda sangat marah.
Lalu baginda mengarahkan pengawal untuk menghumbankan doktor ke dalam penjara. Doktor tadi kemudian berkata – “Good, bad who knows?”
Lama-kelamaan, jari baginda semakin teruk, lalu baginda memutuskan untuk memotong jari tersebut. Tidak lama selepas jarinya sembuh, baginda sekali lagi keluar berburu.
Kali ini nasib Sang Raja agak malang kerana telah tersesat dan ditangkap oleh sekumpulan orang asli. Kebetulan pula mereka sedang menyambut perayaan dan mereka memerlukan korban untuk dipersembahkan kepada dewa mereka.
Sebelum kepala baginda dipenggal, Tok Batin menjerit – “Berhenti! Dia tidak boleh dijadikan sebagai korban, sebab dia tak sempurna. Jari dia ada 9.”
Disebabkan bilangan jarinya yang tidak cukup, baginda pun dilepaskan.
Sesampai sahaja di istana, baginda teringat akan doktor itu. Lalu baginda meminta maaf sambil berkata – “Jari yang dipotong ini telah ditakdirkan menyelamatkan beta. Beta minta maaf kerana telah menghumbankan kamu ke dalam penjara.”
Tahu apa yang doktor itu jawab? Anda pasti terkesima sekali lagi kerana beliau langsung tidak menyalahkan si raja itu sebaliknya berkata;
“Salah! Nasib baik saya dipenjara, kalau tak saya mesti kena ikut tuanku pergi berburu dan saya mesti dijadikan sebagai mangsa korban. Sebab jari saya lengkap. Saya ada 10 jari. Good, bad who knows?”
Kesimpulan
Tuntasnya, walau bagaimanapun keadaan dan kesusahan yang kita alami pada masa ini, reda, sabar dan percaya dengan apa yang berlaku adalah perkara yang paling penting.
Mungkin pada awalnya kita akan kecewa dan menyalahkan takdir, namun siapa tahu di akhirnya akan terselit seribu kemanisan dari Allah pada masa akan datang.
Ingatlah satu lagi kalam yang paling mahsyur – “Ujian itu ditimpa ke atas bahu mereka yang mampu menanggungnya.”
Sentiasa bersangka baik, jangan bersedih terlalu lama dan jalanilah kehidupan dengan baik agar hikmah Allah itu dapat dirasai oleh anda.
No comments: