Solat Jumaat Dan Solat Jemaah Di Masjid Dibenarkan Bermula Esok
YB Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri telah mengumumkan bahawa semua masjid, Surau Diri Jumaat, serta surau-surau terpilih di Wilayah Persekutuan akan mula dibuka kembali esok bagi tujuan Solat Jumaat, solat berjemaah, Solat Tarawih serta Solat Aidilfitri kelak.
Berita baik ini pasti disambut lega oleh umat Islam setelah hampir 8 minggu larangan ke masjid dan surau dikuatkuasakan.
Walau bagaimanapun, terdapat beberapa langkah berhati-hati yang masih perlu dititik beratkan oleh pihak masjid dan juga para jemaah.
Hanya 30 orang dibenarkan untuk menunaikan solat jemaah di masjid pada satu-satu masa manakala warga emas, individu yang menghidapi penyakit kronik serta kanak-kanak bawah usia 15 tahun tidak dibenarkan hadir ke masjid kerana kelompok ini lebih mudah terdedah kepada ancaman wabak.
Para jemaah juga diwajibkan untuk memakai pelitup muka ketika hadir ke masjid. Selain itu, disarankan juga untuk mengambil wuduk di rumah serta membawa sejadah sendiri bagi mengelakkan ruang wuduk dan tandas menjadi sesak.
Masjid dan surau hanya akan dibuka sejam lebih awal sebelum waktu solat dan akan ditutup semula usai doa, justeru para jemaah tidak dibenarkan untuk berkumpul selepas solat dan perlu bersurai dengan tenang.
Bagi memudahkan rekod kehadiran diambil oleh pihak masjid, orang ramai yang ingin ke masjid juga perlu membawa bersama kad pengenalan diri.
Keputusan yang dibuat ini adalah selaras dengan hasil perbincangan Mesyuarat Keselamatan Negara (MKN) dan pertemuan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dengan Perdana Menteri pada 12 Mei 2020.
Walau bagaimanapun, kebenaran untuk solat berjemaah di masjid bagi negeri-negeri lain adalah tertakluk kepada keputusan Majlis Agama Negeri masing-masing.
No comments: