Silaturahim Tetap Perlu Dijaga Meskipun Tak Dapat Bersua Muka Di Hari Raya
Tahun ini kita beraya dengan cara baharu. Hanya hari raya pertama dibenarkan berziarah dan jumlah tetamu pada satu-satu masa pula hendaklah tidak melebihi 20 orang sebagaimana arahan yang telah dikeluarkan oleh pihak pemerintah.
Sekalipun tidak dapat berziarah dan bersua muka, itu bukan bermakna silaturahim antara sesama kita perlu diambil ringan. Sungguhpun Islam menekankan tentang ibadah dan hubungan dengan Tuhan, namun hubungan silaturahim sesama manusia juga sangat dititik beratkan.
Terlebih dahulu mari kita fahami serba sedikit apa yang dimaksudkan dengan silaturahim. Kalimah ini diambil daripada dua perkataan Arab iaitu “صلة” yang bermaksud hubungan dan “الرحم” yang bererti kaum kerabat yang terdekat. Maka ia bermaksud memelihara dan menyambung hubungan dengan kaum kerabat yang terdekat.
Imam Qurtubi pula berpendapat bahawa makna rahim yang lebih umum ialah saudara seagama walaupun tiada pertalian kerabat.
Orang Yang Menziarahi Saudaranya Dicintai Allah
Terdapat satu kisah menarik yang didapati daripada sebuah hadis sahih riwayat Muslim. Ia berkenaan seorang pemuda yang menziarahi saudaranya di suatu tempat. Dia tidak mempunyai sebarang niat atau kepentingan lain untuk menziarahi saudaranya tersebut melainkan hanya kerana menyayanginya kerana Allah SWT. Allah mengutuskan malaikat untuk bertanya perihal lelaki tersebut.
Lalu malaikat bertanya kepadanya; “Apakah kamu mempunyai satu perkara yang menguntungkan dengannya?” Laki-laki itu menjawab; “Tidak, saya hanya mencintainya kerana Allah Azza wa Jalla.”
Akhirnya malaikat itu berkata; “Sesungguhnya aku ini adalah malaikat utusan yang diutus untuk memberitahu kepadamu bahawasanya Allah akan sentiasa mencintaimu sebagaimana kamu mencintai saudaramu kerana Allah.” (HR Muslim, no. 4656 – Status Hadis Sahih)
Bagaimana Untuk Menjaga Silaturahim
Peluang untuk menziarahi sahabat atau sanak-saudara sebenarnya adalah peluang keemasan serta nikmat yang diberikan kepada kita yang tidak disedari selama ini. Kini nikmat tersebut ditarik kerana pergerakan kita jadi sangat terhad dek tersebarnya wabak COVID-19 ini. Arahan ini perlu dipatuhi demi menjaga keselamatan dan mengelakkan kemudaratan yang lebih besar.
Sungguhpun begitu, ia bukan alasan untuk tidak menjaga hubungan silaturahim dengan sanak saudara atau kenalan. Dengan kemajuan teknologi, kita masih boleh berhubung menerusi panggilan video yang membolehkan kita saling bertanya khabar, berbual sambil menatap wajah masing-masing di skrin telefon atau komputer riba.
Selain itu, boleh juga menghubungkan silaturahim dengan cara nasihat-menasihati, berlaku adil, membantu saat memerlukan, memberi hak yang sepatutnya, berhubung kembali dengan saudara yang berselisih faham serta menunaikan hak-hak bagi saudara yang meninggal dunia iaitu menguruskan jenazahnya.
Jangam Mengambil Ringan Dengan Anjuran Menjaga Silaturahim
Mungkin kita berasa bahawa ia hanyalah perkara kecil yang tidak signifikan namun besar maknanya pada orang yang menerima huluran ukhwah tersebut, malah bertambah besar lagi nilainya di sisi Allah.
Jangan bermudah-mudah, kerana ada pula ancaman buat mereka yang memutuskan silaturahim dengan kaum kerabat kerana perkara ini termasuk dosa besar yang diputuskan secara ijmak oleh para ulama. Selain itu, orang yang memutuskan silaturahim tidak akan tergolong dalam kalangan awal yang masuk ke syurga sekalipun dia memiliki iman.
Diriwayatkan oleh Jubair bin Muth’im R.anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لاَ يَدْخُلُ الجَنَّةَ قَاطِعٌ
Maksudnya: “Tidak masuk syurga orang yang memutuskan silaturrahim”. Maksud “tidak masuk syurga” di sini adalah tidak masuk bersama golongan terawal (bukan ertinya dia tidak akan masuk syurga selama-lamanya padahal dia memiliki Iman). (Riwayat Al-Bukhari, no. 2408 dan Muslim, no. 593)
Ia boleh berlaku dengan cara memencilkan hati kaum kerabat, meminggirkannya, tidak mahu menolong saat mereka memerlukan serta tidak menziarahi mereka tanpa sebarang sebab yang munasabah mahupun keuzuran.
Kesimpulan
Tidak dinafikan bahawa ada antara rakan-rakan atau kaum kerabat yang kadang-kadang tidak kita senangi, yang ada kalanya membuatkan kita sakit hati, geram dan marah. Namun, merekalah yang telah mewarnai hidup kita selama ini.
Sambungkanlah silaturahim semula. Perbaiki yang retak dan jernihkan yang telah keruh. Inilah makna silaturahim yang sebenar. Maknakan bulan Syawal, bulan kemenangan ini dengan menjaga hubungan silaturahim meskipun tidak dapat bersua muka.
Rasulullah SAW bersabda:
لَيْسَ الوَاصِلُ بِالمُكَافِئ، وَلكِنَّ الوَاصِلَ الَّذِي إِذَا قَطَعَتْ رَحِمُهُ وَصَلَهَا
“Bukanlah orang yang menyambung (silaturrahim) itu adalah orang yang membalas kebaikan orang lain setimpal sepertimana yang dilakukan kepadanya, akan tetapi penyambung itu adalah orang yang jika ada yang memutuskan hubungan dengannya, dia bertindak menyambungnya.” (Riwayat al-Bukhari, no. 5991)
No comments: