Ragu-Ragu Tentang Kedatangan Haid Semasa Berbuka Puasa – Bagaimana Solusinya
Antara perkara yang menjadi mimpi ngeri untuk wanita di bulan puasa ialah ketika datangnya haid apabila waktu berbuka puasa sudah hampir menjengah.
Kadang-kadang, sipi-sipi waktunya sebelum berbuka puasa, kadang-kadang lima belas minit sementara menunggu waktu berbuka, haid datang tanpa disangka.
Apabila berada dalam situasi ini, puasa seseorang wanita tersebut adalah batal dan perlu digantikan. Walaupun sudah berpuasa hampir sehari penuh, namun apakan daya, kaum wanita perlu akur. Jangan bersedih kerana ia merupakan ujian buat anda.
Namun, ada juga situasi di mana seseorang wanita itu ragu-ragu akan batal atau tidak puasanya kerana tidak pasti bilakah haid itu datang, sama ada sebelum atau selepas berbuka.
Maka, dalam situasi ini, adakah batal puasanya dan perlu diqada atau sebaliknya?
فَإِذَا حَاضَتِ المَرْأَةُ وَهِيَ صَائِمَةٌ في نَهَارِ رَمَضَانَ أَو غَيْرِهِ بَطَلَ صِيَامُهَا، وَلَو كَانَ ذَلِكَ قُبَيْلَ المَغْرِبِ بِلَحْظَةٍ، وَوَجَبَ عَلَيْهَا قَضَاءُ ذَلِكَ اليَوْمِ إِذَا كَانَ فَرْضَاً أَو وَاجِبَاً، بِاتِّفَاقِ الفُقَهَاءِ، وَإِذَا كَانَ نَفْلَاً لَا يَجِبُ القَضَاءُ عَلَيْهَا عِنْدَ جُمْهُورِ الفُقَهَاءِ مِنَ الشَّافِعِيَّةِ وَالمَالِكِيَّةِ وَالحَنَابِلَةِ، وَلَكِنَّهُ يُسْتَحَبُّ
Maksud: “Maka, apabila perempuan yang berpuasa Ramadan datang darah haid atau darah lainnya, maka batal puasanya sekali pun seketika sebelum masuk waktu Maghrib. Dan wajiblah ke atasnya untuk mengqada hari yang batal itu jika puasanya itu adalah puasa wajib dan fardu. Dan jika puasanya itu sunat, maka tidak wajib dia mengqada di sisi jumhur ulama fiqah dari mazhab Syafi’e dan Maliki dan Hanbali tetapi sunat sahaja untuk diqada.” (Fiqh Mazahibil Arba’ah/Masuatul Fiqhiyah)
Dalam perkara ini, seseorang wanita itu perlu yakin dan beriktikad di dalam hatinya sendiri. Dia perlu peka dan sedar akan perubahan badannya sendiri.
Jika dia merasakan bahawa haid itu datang sebelum Maghrib disebabkan ada tanda-tanda sakit perut atau tidak selesa pada bahagiannya, maka batal puasanya.
Namun, jika dia yakin bahawa haid itu datang selepas azan Maghrib (sempat untuknya berbuka puasa) disebabkan perubahan dan tanda-tanda yang dirasai, maka puasanya sah dan tidak perlu diganti untuk hari itu.
Dalam hal ini, terdapat sebuah hadis yang pernah diriwayatkan oleh Baginda SAW;
لاَ يَنْصَرِفْ حَتَّى يَسْمَعَ صَوْتًا أَوْ يَجِدَ رِيْحًا
Maksud: “Janganlah berpaling hingga ia mendengar suara atau mendapati bau.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 177)
Dalam kaedah fikh, permasalahan keraguan ada disebut;
Maksud: “Setiap masalah yang meragukan dianggap sahaja seperti tiada, Setiap sebab yang kita ragukan bilakah munculnya, maka tidak ada hukum pada akibatnya. Sebab tersebut seperti sesuatu yang dipastikan tidak ada, maka tidak dikenakan hukum ketika itu.” (Anwar Al-Buruq fi Anwa’ Al-Furuq, 4:49, Asy-Syamilah)
Kesimpulan
Jika ia sekadar keraguan yang melintas di hati tanpa ada perasaan atau bukti yang kukuh, maka sebaiknya diabaikan.
Puasa pada hari itu masih sah jika anda yakin haid itu datang sejurus selepas anda berbuka puasa. Namun, jika anda sedar ia datang seminit sebelum berbuka puasa, maka ia adalah batal dan wajib untuk mengqadanya.
Adapun, jika anda tetap ragu-ragu, maka tidak mengapa untuk menggantikan puasa anda itu bagi mengambil langkah berjaga-jaga.
Wallahu a’alam.
Sumber:
Rumaysho.com
No comments: