12 Jemaah Sahaja Dibenarkan Solat Jumaat Di Masjid – JAINJ
Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohammad al-Bakri berkata, keputusan prosedur operasi standard (SOP) bagi tatacara solat berjemaah dan solat Jumaat di masjid sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dijangka akan diketahui Khamis.
Pihak mereka sentiasa cakna akan saranan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam penyelarasan SOP yang bakal diputuskan kelak.
Terkini, Jabatan Agama Islam Johor (JAINJ) mengumumkan kebenaran untuk menunaikan solat berjemaah di masjid dan surau sepanjang tempoh PKPB ini.
Adapun, keputusan itu adalah tertakluk kepada 12 orang jemaah sahaja termasuk solat Jumaat yang bakal bermula Jumaat ini.
12 jemaah yang terlibat ialah imam satu, imam dua, bilal, noja bersama lapan ahli jawatankuasa yang lain. Keputusan itu diambil kira dengan mematuhi garis panduan yang telah disediakan oleh pihak JAINJ dan KKM.
Hal tersebut adalah selari dengan pelaksanaan solat sunat Aidilfitri kelak yang hanya membenarkan seramai 12 jemaah sahaja.
Bagi umat Islam yang lain, anda masih perlu mematuhi peraturan yang dikeluarkan dengan bersolat Jumaat dan Aidilfitri di kediaman masing-masing.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Negeri, Tosrin Jarvanthi, bilangan 12 jemaah ini adalah dengan mengambil kira pendapat sebahagian ulama mazhab Syafi’e, iaitu sah solat Jumaat tersebut dan tidak perlu diulang dengan solat Zuhur.
Tambah beliau, pihak masjid akan mengawal kehadiran jemaah bagi mengelakkan kehadiran individu lain seperti warga asing atau penduduk setempat. Ia adalah untuk menjaga keselamatan daripada berlakunya perkara yang tidak diingini.
Buat umat Islam yang bakal melakukan solat sunat Aidilfitri di rumah, anda boleh memuat turun teks khutbah melalui laman web JAINJ.
Sumber:
Harian Metro
No comments: