Ads Top

(Video) Ecuador Hampir Lumpuh, Mayat Dipercayai Pesakit Covid-19 Hanya Diletak Di Luar Rumah

Jalan-jalan di bandaraya Guayaquil di sebelah barat Ecuador kini sepi akibat wabak Covid-19. Hanya beberapa penduduk kelihatan dan lebih teruk mangsa yang mati akibat wabak dipercayai ditinggalkan di tepi-tepi jalan di kawasan tersebut.

Ecuador atau rasminya Republik Ecuador merupakan negara demokratik yang terletak di barat Amerika Selatan, menjadi antara negara yang paling teruk terkesan akibat Covid-19 hingga mengalami fasa kelumpuhan.

Hospital tidak lagi mepunyai katil untuk menerima pesakit dan menyimpan mayat termasuk rumah pengebumian dan tanah perkuburan yang sudah melebihi kapasiti.

Setelah tiada tempat lagi untuk menempatkan mangsa yang meninggal dunia, penduduk tidak mempunyai pilihan lain selain meletakkan mayat ahli keluarga di luar rumah.

Sehingga kini, tidak dapat dijelaskan keseluruhan mangsa yang maut akibat wabak Covid-19 di Ecuador berikutan jumlah mangsa yang ramai dan tidak sempat mendapatkan bantuan.

Penduduk berkata, ada antara ahli keluarga mereka yang maut mempunyai simptom virus manakala sebilangan yang lain hanya dimaklumkan bahawa pesakit tidak dapat dirawat di hospital Guayaquil kerana telah melebihi had.

”Kami telah menunggu selama lima hari,” kata Fernando Espana yang mengeluh mengenai pihak berwajib yang tidak datang mengambil mayat ahli keluarga mereka.

”Kami letih membuat panggilan di 911 kerana satu-satunya jawapan yang diberitahu adalah supaya kami terus menunggu kerana mereka berusaha menyelesaikan masalah ini,’‘ katanya sambil menunjukkan mayat yang dibungkus dalam plastik hitam di dalam rumahnya.

Keranda yang mengandungi mayat mangsa yang dipercayai maut akibat wabak, dibalut dengan plastik dan ditutup dengan kotak turut kelihatan di kawasan kediaman di Guayaquil.

”Bau yang datang dari mayat di kawasan ini terlau busuk dan tidak dapat ditahan lagi,” kata seorang penduduk Glenda Larrea Vera.

Beberapa video dari kamera litar tertutup (CCTV) juga menunjukkan penduduk meninggalkan mayat di jalan-jalan sekitar bandar tersebut.

Menerusi salah satu rakaman, seorang penunggang motosikal dilihat membawa mayat dan meninggalkan di jalan sebelum diambil oleh sekumpulan orang yang berpakaian khas (hazmat suit).

Manakala, rakaman yang lain turut menunjukkan sekumpulan orang mengeluarkan mayat dari kenderaan dan meletakkan di atas jalan raya.

Pihak polis yang datang meminta mereka untuk memasukkan semula mayat tersebut ke dalam kereta sebelum dibawa ke tempat lain.

Setakat ini, menurut data yang direkod, pihak berkuasa Ecuador telah mengumpul lebih daripada 300 mayat yang diambil di rumah penduduk di bandar tersebut di mana mempunyai kepadatan 2.99 juta penduduk.

Difahamkan, bandar Guayaquil terletak di Sungai Guayas, merupakan bandar terbesar di negara berkenaan dan menjadi kawasan pelabuhan utama negara.

Jorge Wated, ketua pasukan petugas gabungan yang diwujudkan untuk menangani krisis Covid-19 di Ecuador berkata, pasukannya telah mengambil mangsa yang mati sebanyak 30 orang sehari kepada 150 orang sehari sejak tiga hari lalu.

Datuk Bandar Guayaquil, Cynthia Viteri telah meminta bantuan dari kerajaan pusat dan mempersoalkan apa yang berlaku di dalam sistem kesihatan awam di negara berkenaan.

Menurutnya, pihak berkuasa tidak mengambil mayat di rumah penduduk, penduduk meninggalkan mayat di tepi jalan, malah ada yang tidak sempat mendapatkan rawatan walau sudah tiba di hospital.

Pada Jumaat, Jabatan Pengurusan Risiko dan Kecemasan Kebangsaan Ecuador melaporkan terdapat 3,368 kes positif jangkitan Covid-19 dan 145 kematian di seluruh negara. Sebanyak 102 kematian adalah dari wilayah Guayas di Guayaquil.

Namun, apa yang mencetuskan kebimbangan ramai adalah kes jangkitan  adalah sebenarnya lebih tinggi dari apa yang dilaporkan berikutan kelewatan untuk mendapatkan ujian dan rawatan.

Jorge Wated, ketua pasukan petugas, mengatakan bahawa pakar membuat jangkaan antara 2,500 dan 3,500 kematian akan dicatatkan pada bulan-bulan akan datang di Guayas sahaja.

Beberapa kontena telah tiba di Guayaquil untuk dijadikan sebagai rumah mayat sementara untuk menampung jumlah mangsa yang maut.

Pihak berkuasa turut merancang mewujudkan satu ruang ‘pengebumian bermaruah’ bagi menghormati semua mangsa yang terkorban akibat wabak Covid-19.

Tetapi buat masa ini, penduduk di Guayaquil terus terperangkap dalam ‘mimpi ngeri’, berhadapan dengan wabak maut sambil meratapi kehilangan orang tersayang tanpa melalui proses pengebumian yang sepatutnya.

Tonton video di bawah:

Sumber: CNN

The post (Video) Ecuador Hampir Lumpuh, Mayat Dipercayai Pesakit Covid-19 Hanya Diletak Di Luar Rumah appeared first on Siakap Keli.




No comments:

Powered by Blogger.