Ads Top

PKP Disambung Atau Tidak, Terserah Atas Nasihat KKM – Ismail Sabri

Keputusan bagi menyambung Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah bergantung kepada nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada kerajaan. (Rujuk minit video 15:18)

Menteri Kanan merangkap Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi satu sidang media berkata, setakat ini kerajaan masih belum menerima nasihat daripada KKM, dan perkara ini juga masih belum dibincangkan di Mesyuarat Khas Menteri-Menteri.

”PKP atau PKPD disambung atau tidak atas nasihat KKM. Setakat ini belum ada nasihat lagi dan kita tidak bincang pun di Mesyuarat Khas Menteri-Menteri.

”Kita serahkan kepada KKM yang akan menasihatkan kerajaan. Selepas menerima nasihat KKM, pastinya kerajaan akan membuat keputusan,” ujar beliau.

Tambah Ismail Sabri, selagi tidak terdapat sebarang pengumuman daripada kerajaan, fasa kedua PKP diteruskan seperti biasa sehingga tarikh akhir pada 14 April depan.

”Selagi tidak ada pengumuman, maka setakat hari ini seperti biasa iaitu PKP diteruskan sehingga 14hb,” kata beliau.

Difahamkan, pada Jumaat (10 April 2020), kerajaan bakal mengumumkan sama ada PKP akan ditamatkan atau disambung ke fasa ketiga bagi membendung penularan Covid-19.

Setakat semalam, kes Covid-19 di negara ini merekodkan perkembangan positif apabila jumlah pesakit yang pulih daripada wabak berkenaan melebihi rekod jangkitan baharu.

Sebanyak 166 kes dilaporkan pulih dan dibenarkan keluar hospital, menjadikan jumlah keseluruhan individu sembuh seramai 1,487 orang.

Manakala, sebanyak 156 kes baharu dilaporkan, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif jangkitan adalah 4,119 orang.

Jumlah kematian meningkat kepada dua kes, sekaligus menjadikan jumlah mangsa yang meninggal dunia meningkat kepada 65 orang.

Sumber: Sidang Media Perkembangan PKP

The post PKP Disambung Atau Tidak, Terserah Atas Nasihat KKM – Ismail Sabri appeared first on Siakap Keli.




No comments:

Powered by Blogger.