Ads Top

Pandemik Covid-19 Adalah Ujian Atau Hukuman?

Semalam ketika melayari media sosial di Facebook, saya ada membaca ulasan Zamir Mohyedin, penulis buku The Human Complex, tentang sebuah filem bertajuk The Platform yang sedang hangat diperkatakan oleh warganet.

Apa yang menarik perhatian saya ialah apabila Zamir mengeluarkan pendapat Thomas Hobbes mengenai sifat semulajadi manusia. Menurut Thomas Hobbes, manusia pada asalnya bersifat kasar, keras dan jahat. Demi untuk kelansungan hidup, sifat itulah yang membuatkan manusia terus berjaya mendapatkan sesuatu.

Begitulah lebih kurang definisi sifat manusia berdasarkan pendapat Thomas Hobbes jika kita membaca dari pelbagai sumber terutamanya berkaitan moral dan falsafah. Hal ini mengingatkan saya pada subjek Sains Politik yang perlu diambil ketika di semester satu pengajian diploma.

Secara amnya, sains politik bermaksud ilmu dalam mempelajari politik yang berkaitan dengan falsafah dan statistik kajian. Dalam subjek tersebut, ada subtopik yang membicarakan bagaimana asal usulnya kerajaan terbentuk dalam tamadun manusia dan mengapa perlunya diwujudkan sesebuah kerajaan untuk kita.

Menurut Hobbes, salah satu daripadanya ialah, manusia perlu dikawal oleh pihak berkuasa daripada melakukan pelbagai kerosakan. Selain itu, ada beberapa pendapat oleh tokoh-tokoh terdahulu juga namun untuk penulisan ini kita ambil pendapat Hobbes sebagai idea untuk difikirkan bersama.

Berikutan pandemik Covid-19 yang masih belum ditemui penawarnya, kita dapat lihat beberapa isu moral yang berlaku di Malaysia.

Antaranya yang hangat ialah golongan selebriti yang inginkan bantuan kerajaan, kes pencurian topeng muka di hospital kerajaan untuk dijual balik, sikap orang kaya yang bernada ‘condescending’ (merendahkan) apabila komen bantuan kerajaan pada golongan bawahan, kes penipuan untuk mendapatkan bantuan daripada badan NGO, dan pelbagai lagi situasi yang membuatkan kita mengucap panjang apabila membacanya.

Adakah Kita Mendapat Hukuman Atau Ujian Dari Allah

Dalam salah satu ceramah Mufti Perlis di dalam Youtube, beliau pernah memberi komen mengenai isu seseorang yang mencemarkan tanah haram di Mekah. Beliau ada menyebut tentang cara untuk mengetahui sama ada sesuatu musibah itu adalah hukuman atau ujian kepada kita.

Jawapan beliau agak ringkas, iaitu dengan memerhatikan apa yang kita lakukan setelah terjadinya musibah itu.

Jika setelah itu kita menjadi insan yang semakin mendekatkan diri kepada Allah dan berbuat kebaikan, musibah yang telah terjadi itu ialah ujian kepada kita membawa makna Allah sayang. Manakala jika sebaliknya berlaku, kita menjadi seorang yang dendam dan penuh bitter terhadap orang lain, musibah itu ialah hukuman yang belum kita sedari.

وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ. الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّـهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ

Dan sesungguhnya akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan tanaman. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: “Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji’uun”.
(Surah al-Baqarah 2: 155-156)

Ayat ini memberi penerangan bahawa kita tidak terlepas daripada ujian Allah. Manakala ujian itu pula boleh datang dari pelbagai bentuk. Seperti situasi sekarang ialah virus yang boleh membunuh, keadaan ekonomi yang suram dan sedikit kebebasan yang ditahan sebentar.

Jadi, orang yang untung ialah mereka yang bersabar menghadapinya. Insan yang sabar bukan setakat menjadi pasif, tetapi sabar ialah dengan bekerjasama dengan kerajaan dan masyarakat untuk membanteras virus ini daripada terus merebak.

Contoh yang mudah ialah bekerjasama menjaga penjarakan sosial apabila keluar bekerja atau mendapatkan bekalan makanan, memberi advokasi kepada orang ramai melalui sosial media mengenai berita palsu, menderma kepada kerajaan dan NGO terlibat supaya dapat berkongsi rezeki, dan berdoa semoga virus ini berjaya dikekang secepatnya.

Oleh itu, situasi virus ini menunjukkan bahawa kita tidak sendirian berusaha. Jika hanya kita seorang sahaja yang berusaha, virus akan terus merebak. Ini menunjukkan bahawa Allah menghantar virus ini supaya kita dapat berganding bahu saling membantu satu sama lain. Sehinggakan tular tanda pagar #kitajagakita yang boleh beri inspirasi pada semua untuk turut serta membantu apa yang mampu diberikan.

وَمَا أَصَابَكُم مِّن مُّصِيبَةٍ فَبِمَا كَسَبَتْ أَيْدِيكُمْ وَيَعْفُو عَن كَثِيرٍ

“Dan segala musibah yang menimpa kamu adalah disebabkan oleh perbuatan tangan kamu. Dan Allah memaafkan banyak (dari kesalahan kamu)” (Surah Asy-Syuuraa 42:30)

Punca kepada berlakunya Covid-19 masih belum dapat disahkan. Namun, World Health Organization mencadangkan supaya dikurangkan hubungan manusia dengan makanan berupa haiwan eksotik seperti kelawar tikus, dan anjing. Manakala Elizabeth Maruma Mrema, setiausaha eksekutif kepada United Nation Convention on Biological Diversity, menggesa supaya melarang pembukaan pasar eksotik di peringkat global untuk menghalang berlakunya penyebaran virus lagi.

Situasi ini membuktikan benarlah ayat Al-Quran di atas yang mengatakan tentang perbuatan kita (manusia) sendirilah yang menyebabkan berlakunya musibah di atas muka bumi. Namun ada orang berpendapat bahawa ayam yang halal pun menjadi punca penyebaran virus H1N5 yang membunuh pada tahun 2005.

Justeru jawapan saya ialah perbuatan manusia yang tidak mengendahkan kebersihan dan etika terhadap haiwan adalah puncanya. Walaupun ayam adalah halal dimakan, namun apabila cara pengendalian manusia yang sambil lewa maka muncul virus yang membunuh.

Pembaca juga boleh menonton di Youtube, satu video oleh Global Health Media Project bagaimana berlakunya penyebaran virus Ebola. Ini dapat membuka minda kita untuk menyemai tatacara yang baik dalam mengendalikan apa pun, terutamanya haiwan. Ini seperti yang di ajar Baginda SAW di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abi Ya’la bin A’us RA, sabda Nabi SAW:

فَإِذَا قَتَلْتُمْ فَأَحْسِنُوا الْقِتْلَةَ، وَإِذَا ذَبَحْتُمْ فَأَحْسِنُوا الذِّبْحَةَ

Apabila kamu membunuh maka bunuhlah dengan baik, dan apabila kamu menyembelih maka sembelihlah dengan baik.
(Riwayat Muslim)

Buat Masalah Atau Bantu Orang

Dr Yasir Qadhi dalam videonya berkenaan Covid-19 mengatakan bahawa ujian yang menimpa kita ialah sebagai peringatan daripada Allah kepada umatNya untuk sedar dan bangkit. Beliau berpendapat kita sebagai umat Islam bukan bersalah secara individu tetapi secara kolektifnya bersalah terhadap situasi yang berlaku sebelum ini. Contoh diberikan ialah isu transgender.

Sebahagian umat Islam ada yang berlembut terhadap golongan ini sehingga diberikan ruang untuk terus menyebarkan kemaksiatan berbanding usaha untuk membantu mereka ke pangkal jalan. Isu transgender agak hangat di Malaysia pada tahun 2018, ketika Dr Mujahid menjadi Menteri Agama.

Isunya muncul apabila beliau bertemu dengan aktivis transgender yang bernama Nisha Ayub untuk membincangkan beberapa perkara dan juga apabila beliau menangkis kenyataan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, yang menyifatkan perjuangan komuniti LGBT sebagai kebebasan haiwan.

Cuma apa yang melucukan bagi perjuangan ini ialah keengganan untuk berdebat secara terbuka apabila telah diberikan ruang oleh TV Alhijrah dalam rancangan Analisis yang diacarakan oleh saudari Finaz Yunus. Jika baca pada kenyataan-kenyataan di Twitter, hujah pendokong mereka ialah moderator yang ‘bias’ (berat sebelah) dan bukan bidang masing-masing.

Di negara maju seperti Amerika Syarikat, banyak berlaku perdebatan terbuka dan moderator atau pengacaranya kita lihat cenderung pada sebelah pihak. Namun kedua pihak tetap datang berdebat dan berdiskusi contohnya Ben Shapiro dan Jordan Peterson.

Berbalik kepada situasi sekarang, pelbagai isu negatif seperti yang saya senaraikan di awal tulisan dan tidak kurang juga isu positif. Antara isu positif ialah kata-kata nasihat dizahirkan Ketua Polis Balai Lenggong, Inspektor Mohd Ropiza Hassan terhadap seorang remaja lelaki yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kampung Kuak.

Beliau turut mencabar remaja itu yang kematian ayahnya untuk berusaha bersungguh-sungguh sehingga berjaya masuk ke universiti. Video tersebut telah tular dan menerima penghargaan daripada warganet yang rata-ratanya terharu dengan tindakan polis. Pada waktu yang getir ini sebaiknya kita mengumpul pahala dengan berbuat baik. Beri manfaat kepada orang ramai terutamanya mereka yang susah disebabkan tidak dapat bekerja pada waktu Peraturan Kawalan Pergerakan ini.

خَيْرُ الناسِ أَنْفَعُهُمْ لِلناسِ

“Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia.” (Riwayat Ahmad)

Bagaimanapun, berhati-hatilah jika ingin menderma. Tular di Twitter tentang seseorang yang pernah berhutang kepada ramai orang namun masih tidak menjelaskannya telah menubuhkan tabung bantuan kepada petugas hospital menggunakan akaun peribadinya.

Apabila disoal mengenai perbelanjaan dana tabung tersebut, beliau memberi respon yang agak kasar sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan warganet lalu akaun tersebut telah dihalang oleh pihak bank.

Kejadian itu membuatkan mangsa beliau yang ditipu sebelum ini mendedahkan kes dahulu melibatkan hutang kepada orang ramai. Niat yang baik tidak menghalalkan cara kita. Hutang pula adalah perkara yang sangat berat terutama dalam Islam. Hal ini telah dibahaskan dalam laman web Mufti Wilayah Persekutuan yang bertajuk Al-Kafi #1325: Adakah Hutang Bank Menyebabkan Roh Dan Amalan Akan Tergantung.

Pengajaran daripada isu ini ialah ramai orang sangsi terhadap tabung yang diwujudkan oleh kerajaan. Mereka skeptik terhadap cara pemberian lalu percaya kepada individu perseorangan. Walhal individu perseorangan lah yang lebih wajar untuk kita berhati-hati terhadapnya kerana tiada sebarang proses audit mahupun pentadbiran telus. Sebab itulah di dalam Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 khususnya Seksyen 137 melarang individu daripada mengumpul apa sahaja wang tanpa lessen daripada orang ramai.

Fitrah Kita Baik atau Jahat Sebenarnya

Di awal penulisan ini saya ada memetik pendapat oleh tokoh terdahulu, Thomas Hobbes, berkenaan sifat semulajadi manusia yang kasar dan jahat. Namun pendapat Hobbes disangkal oleh Jean-Jacques Rousseau, tokoh falsafah yang lain.

Rousseau berpendapat manusia secara fitrahnya baik dan beretika. Hanya setelah majunya peradaban, manusia telah dicemari oleh pembahagian sosial dan sebagainya menjadikan manusia jahat. Begitulah pendapat tokoh falsafah terdahulu berkenaan sifat manusia.

Untuk menjawab persoalan ini, Yale University dan Harvard University telah menjalankan kajian untuk mengenalpasti tingkahlaku manusia sama ada bekerjasama (baik) atau mementingkan diri (jahat). Kajian ini dilakukan oleh David G. Rand, Joshua Greene, dan Martin Nowak pada tahun 2012.

Hasil kajian ini menunjukkan bahawa manusia cenderung untuk lebih bekerjasama daripada mementingkan diri – membawa maksud kita sebenarnya pada asalnya baik bukannya jahat.

كُلُّ إِنْسَانٍ تَلِدُهُ أُمُّهُ عَلَى الْفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ

“Setiap manusia dilahirkan oleh ibunya di atas fitrah. Kedua orang tuanya yang menjadikannya Yahudi, Nasrani, atau Majusi.” (Riwayat Muslim)

إِنَّا هَدَيْنَاهُ السَّبِيلَ إِمَّا شَاكِرًا وَإِمَّا كَفُورًا

“Sesungguhnya Kami telah menunjukkan kepadanya (melalui akal dan Rasul) akan jalan-jalan (yang benar dan yang salah; maka terserahlah kepadanya) sama ada dia bersyukur (dengan beriman dan taat), ataupun dia berlaku kufur (dengan mengingkari kebenaran atau menderhaka).”(Surah al-Insan 76:3)

Dalam hidup ini kita punya pilihan untuk berbuat baik atau menjadi jahat. Dalam situasi sekarang adakah kita membantu orang dengan memberikan derma, atau kita menipu borang permohonan bantuan semata-mata mendapatkan wang lebih.

Pilihan di tangan kita. Allah tidak menghalang hamba-Nya melakukan apa sahaja kerana kita telah dikurniakan kebebasan (free will) sepertimana disebutkan oleh Aristotle dalam karyanya Nicomachean Ethics mengatakan ‘to be either virtuous or vicious’.

Aristotle juga berpendapat manusia lebih tinggi darjat daripada haiwan kerana kemampuan kita menggunakan ‘reason’ (logik) dalam mengatur tindakan harian kita. Begitulah keadilan yang Allah tetapkan pada setiap hambaNya. Semoga kita menjadikan anugerah ini peluang melakukan perkara yang baik-baik sahaja.




No comments:

Powered by Blogger.