Ads Top

Keutamaan Bersedekah Pada Masa Penuh Kesusahan

Video orang sedang makan udang galah sambil bercerita tentang kesedapannya.

Saya tatal ke bawah lagi.

Gambar ikan patin masak tempoyak, siap dihidang.

Saya tatal lagi.

Makanan lagi.

Lagi dan lagi.

Musim PKP sudah umpama pertandingan memasak dan menayangkan apa yang dimasak di media sosial. Ramai yang mengisi masa dengan mencuba resepi-resepi baru yang barangkali jarang berpeluang dimasak sebelum ini.

Salahkah?

Tidak. Ia tidak salah, namun jangan dilupa pada jiran atau saudara kita. Ringan-ringankanlah mulut untuk bertanya keadaan mereka. Apakah sihat, cukup duit dan cukup makan. Atau hanya kita yang kekenyangan sedangkan jiran kelaparan.

Bahkan seseorang itu tidak dianggap mukmin jika membiarkan jiran tetangganya kelaparan sedangkan perutnya kekenyangan.

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ , عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:لَيْسَ الْمُؤْمِنُ بِالَّذِي يَشْبَعُ وَجَارُهُ جَائِعٌ

Dari Ibnu Abbas dari Nabi SAW: “Tidak termasuk orang mukmin, orang yang kenyang sementara tetangganya kelaparan” (HR at Tabrani, no.12579 – Status Hadis Sahih)

Mungkin kita tidak mampu menjadi seorang yang mampu mengumpul dana ribuan ringgit untuk diberi kepada fakir dan miskin, namun kita mampu menjadi seorang insan yang prihatin dengan keperluan orang terdekat dengan mula bertanya dan menghulur apa yang mampu.

Dan saat genting seperti dalam tempoh perintah kawalan pergerakan inilah saat ramai orang benar-benar berada dalam kesempitan dan kesusahan. Bagi yang hanya bergantung rezeki daripada hasil pekerjaan dan perniagaan kecil sehari-hari, sudah pasti sukar untuk bertahan sehingga hujung bulan.

Saat kesusahan yang melampau inilah dipanggil “dzi masghabah” dalam Surah Al Balad ayat 11 hingga 14.

فَلَا اقْتَحَمَ الْعَقَبَةَ
وَمَا أَدْرَاكَ مَا الْعَقَبَةُ
فَكُّ رَقَبَةٍ
أَوْ إِطْعَامٌ فِي يَوْمٍ ذِي مَسْغَبَةٍ

“Tetapi dia tiada menempuh jalan yang mendaki lagi sukar. Tahukah kamu apakah jalan yang mendaki lagi sukar itu? (iaitu) melepaskan hamba abdi, atau memberi makan pada hari kelaparan.”

Ibnu Jarir Ath-Thabari rahimahullah menerangkan bahawa memberi makan pada hari “dzi mas-ghabah”, maksudnya adalah memberi makan pada masa kelaparan, ketika makanan sangat sukar didapati dan di masa semua keperluan terfokus pada makanan. (Lihat Tafsir Ath-Thabari, 23:255-256)

Ia keadaan yang penuh kelaparan, boleh jadi kerana hasil makanan kurang, atau kerana sukar didapati, atau kerana penyakit atau makanan yang ada terlalu sedikit dan tidak mengenyangkan.

Ketika itulah masa yang paling utama dan afdhal untuk menghulurkan bantuan dan bersedekah.

Justeru saat kita menikmati makanan yang terhidang di hadapan mata, ingatlah pada jiran tetangga dan saudara mara. Untuk memberi tidak perlu tunggu untuk jadi kaya, kita hanya perlukan hati yang prihatin dan mahu mengambil cakna.




No comments:

Powered by Blogger.